Siapa sangka MyKad yang dulunya hanya digunakan untuk urusan rasmi, kini telah berubah menjadi satu kad serba boleh dalam kehidupan seharian kita.
Malah, bermula 30 September ini, untuk membeli minyak pun kita perlu menggunakan MyKad kerana rakyat Malaysia boleh menikmati harga petrol subsidi serendah RM1.99 seliter, manakala bukan warganegara pula dikenakan bayaran RM2.60 seliter.
Perubahan ini membuktikan bagaimana teknologi mampu mengubah fungsi sesuatu yang dulunya dianggap biasa. Akhirnya, rakyat seperti kita jugalah yang mendapat manfaat daripada inovasi ini kerana ia memberi lebih kemudahan serta mengubah cara kita berinteraksi dengan dunia sekeliling.
Jadi, selain menikmati petrol subsidi BUDI95 ini, apa lagi sebenarnya yang boleh kita buat dengan MyKad?
1. Urusan pejabat rasmi
Seperti yang kita tahu, MyKad memang digunakan secara meluas dalam sektor kerajaan bagi urusan rasmi. Agensi seperti KWSP, PERKESO, LHDN, JPJ dan Jabatan Imigresen menggunakan data MyKad untuk mengesahkan identiti semasa menyediakan perkhidmatan.
Biasanya, MyKad akan dimasukkan ke dalam MyKad reader bagi mendapatkan data yang tersimpan dalam cip elektronik untuk memastikan maklumat adalah tepat dan sahih.
Dalam urusan perbankan pula, MyKad diperlukan bagi proses Know Your Customer (KYC) yang penting untuk mencegah penipuan serta memastikan transaksi selamat.
Kini, proses KYC juga boleh dilakukan secara elektronik (e-KYC), membolehkan pelanggan mengesahkan identiti mereka secara dalam talian melalui portal yang selamat tanpa perlu hadir ke cawangan bank secara fizikal.
Artikel Berkaitan: Subsidi Petrol RON95 Tidak Terhad MyKad Sahaja, Pelbagai Mekanisme Disediakan – Armizan – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: “Dengan bayaran USD 50, habis b*gel data” – Rakyat Malaysia Luah Kebimbangan Kebocoran Data Sulit – Lobak Merah
2. Rekod kesihatan
Korang tahu tak yang MyKad ni juga menyimpan maklumat kesihatan asas kita seperti jenis darah, status impant organ, penyakit kronik, rekod vaksinasi, dan maklumat waris terdekat.
Menurut portal MyGoverment, maklumat ini boleh dimasukkan di hospital atau klinik yang mengambil bahagian dalam projek Aplikasi Perdana Telekesihatan, antaranya Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.
Dengan adanya informasi ini, doktor dan paramedik boleh akses maklumat penting dengan segera andai kata berlakunya kecemasan. Secara tidak langsung, ia boleh mempercepatkan urusan rawatan awal dan meningkatkan keselamatan pesakit.
MyKad juga digunakan untuk pengesahan identiti ketika mendapatkan perkhidmatan hospital awam, sama seperti urusan rasmi di agensi kerajaan lain.
3. Bantuan kewangan
Yang paling menariknya, MyKad juga berfungsi sebagai kad yang menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.
Melalui inisiatif kerajaan, bantuan kewangan tertentu kini dikreditkan terus ke dalam MyKad, menjadikannya lebih mudah untuk rakyat mengakses kewangan tersebut dalam perlu membuat permohonan atau mengisi borang hanya untuk mendapatkan bantuan.
Contohnya, bantuan yang terbaharu seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dikreditkan secara automatik ke dalam MyKad penerima yang layak. Bermula 31 Ogos 2025, semua warganegara berumur 18 tahun ke atas menerima RM100 yang boleh dibelanjakan di premis terlibat hanya dengan menunjukkan MyKad di kaunter.
Meskipun program MyKasih ini hanya membolehkan penerima menggunakan MyKad di kedai runcit atau pasaraya terpilih untuk membeli barangan asas, namun matlamat untuk membantu rakyat tetap tercapai.
Menurut Astro Awani, inisiatif ini merupakan kali pertama bantuan tunai disalurkan secara menyeluruh melalui MyKad dengan tujuan untuk meringankan beban rakyat. Perkara ini jelas memudahkan semua rakyat Malaysia, sebab tinggal bayar guna MyKad saja dan transaksi akan ditolak terus daripada baki bantuan yang tersedia.
4. Kad Touch ‘n Go
Salah satu fungsi terhebat MyKad adalah ia boleh berfungsi sebagai kad Touch ‘n Go juga!
Touch ‘n Go (TnG) ialah merupakan sistem pembayaran tanpa tunai yang sudah lama digunakan di Malaysia. Ia beroperasi dengan konsep pra-bayar (prepaid), di mana pengguna perlu menambah nilai ke dalam kad dan kemudiannya hanya perlu ‘tap’ saja di terminal pembayaran.
Fungsi TnG dalam MyKad ini paling terasa manfaatnya bila kita guna pengangkutan awam seperti LRT, MRT atau BRT. Dengan MyKad saja, korang boleh beli pas perjalanan bulanan seperti My50 untuk memudahkan urusan perjalanan korang ketika menaiki pengangkutan awam.
Selain itu, MyKad sudah tentu berfungsi sebagai pengganti kad TnG. Jadi, kalau korang tertinggal kad TnG, jangan risau sebab MyKad boleh terus digunakan untuk bayar tol, tambang pengangkutan awam, dan juga parkir!
Cara ini secara tidak langsung memudahkan urusan pembayaran untuk semua orang, serta ianya lebih selamat berbanding menggunakan wang tunai.
5. Autogate di imigresen
Selain untuk urusan harian, MyKad juga memudahkan perjalanan korang sekiranya nak ke luar negara.
Fungsi cip dalam MyKad membolehkan warganegara Malaysia menggunakan Autogate di lapangan terbang tanpa perlu beratur panjang di kaunter imigresen. Dengan hanya mengimbas Mykad dan cap jari, pintu automatik akan terbuka dan anda boleh terus melangkah masuk atau keluar.
Kemudahan ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah meningkatkan keselamatan kerana sistem Autogate akan bersambung terus dengan pangkalan data imigresen. Jadi, sebarang rekod perjalanan, status visa atau halangan keluar masuk dapat dikesan terus serta-merta.
Bagi mereka yang kerap melancong atau bekerja di luar negara, fungsi MyKad sebagai pas laluan automatik ini sangat memudahkan urusan perjalanan menjadi lebih lancar.
Jadi apa yang kita boleh simpulkan dekat sini, MyKad memang lebih dari sekadar kad pengenalan kita. Disebabkan berkat kemajuan teknologi ini jugalah, rakyat biasa seperti kita boleh merasai pelbagai kemudahan yang telah dimanfaatkan oleh kerajaan.
Seeloknya juga kita gunakan MyKad dengan penuh rasa tanggungjawab, sebab kad kecil ini memegang kunci kepada bukti identiti kita, di samping menyediakan pelbagai kemudahan dalam kehidupan seharian.
Sumber: AJobThing, Thepaypers, Kini