in

Malu Isteri Terjerat ‘Love Scam’ Hutang RM260K, Lelaki Nekad B*nuh Ahli Keluarga

Syaz Ft 2026 08 28T160259.104

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Rasa malu dan tertekan akibat bebanan hutang mencecah RM260,000 selepas isteri terjerat dalam perangkap ‘love scam’ dipercayai menjadi motif seorang lelaki bertindak luar kawalan membunuh tiga ahli keluarganya sebelum menamatkan nyawa sendiri dalam kejadian menyayat hati di Desa ParkCity, semalam.

Tragedi yang mengejutkan penduduk sekitar itu terbongkar susulan penemuan sekeping nota yang ditinggalkan oleh suspek, yang juga bapa kepada keluarga berkenaan, di atas meja makan kediaman mereka.


Artikel berkaitan: Pengurus Analisis Rugi RM300,000 Terpedaya Love Scam Warga Amerika Syarikat

Artikel berkaitan: “Keluarga ingat love scam”  – Tak Pernah Berjumpa, Gadis Kongsi Cerita Bertunang ‘Online’

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek meninggalkan sekeping nota di atas meja makan yang menyatakan rasa kesal terhadap isteri yang dikatakan mempunyai hubungan dengan ‘scammer’ sehingga suspek menanggung kerugian dan hutang sehingga RM260,000.

“Isteri dikatakan masih cuba menghubungi scammer berkenaan dan suspek merasakan perbuatan itu melampau dan berasa malu kepada anak-anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan Bedah Siasat Dan Bukti Kejadian

Mengulas mengenai perkembangan proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Fadil mengesahkan prosedur ke atas anak perempuan pasangan itu yang berusia sembilan tahun telah selesai dijalankan pagi tadi.

“Bedah siasat selesai dijalankan hari ini pada jam 9 pagi ke atas mayat anak perempuan berusia sembilan tahun dan selesai lebih kurang jam 12 tengah hari. Satu liang tikaman di leher berukuran lima sentimeter ditemui di bahagian leher si mati,” katanya.

Menurutnya, proses bedah siasat bagi mayat kedua iaitu isteri suspek dengan hanya tiga proses dijadualkan selesai hari ini.

“Bedah siasat ke atas mayat suspek dijangka dijalankan esok selepas pasukan forensik HKL mengadakan lawatan ke tempat kejadian pagi esok,” katanya.

Dalam pada itu, pasukan forensik turut menemui bukti penting yang dipercayai menjadi senjata utama dalam kejadian pembunuhan kejam berkenaan.

“Sebilah pisau serta sepasang sarung tangan yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan ditemui di dalam laci di bilik tidur utama,” katanya.

Pihak polis kini masih meneruskan siasatan terperinci mengikut sudut forensik dan maklumat latar belakang keluarga terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki maut selepas terjatuh dari bangunan kondominium di Desa ParkCity, Persiaran Residen. Pemeriksaan lanjut di dalam unit kediaman berkenaan membawa kepada penemuan mayat isteri dan dua anak suspek.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.