in

KDN Sambut Saranan YAB Perdana Menteri Perkasa Keterbukaan Industri Perfileman, Tapisan Kekal Seimbang Demi Kepentingan Dan Keselamatan Negara

Collage 15

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Lembaga Penapis Filem (LPF) menyambut baik saranan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, agar industri perfileman negara diberikan ruang yang lebih terbuka untuk berkarya, bereksperimen, menyampaikan pandangan serta mengembangkan pemikiran kreatif dan kritis.

Aspirasi ini selari dengan usaha memperkasa industri perfileman Malaysia supaya terus berkembang, inovatif, kompetitif dan relevan dengan perubahan masyarakat serta perkembangan teknologi.


Sehubungan itu, KDN ingin menjelaskan bahawa klasifikasi dan penapisan merupakan dua proses yang berbeza tetapi saling melengkapi di bawah Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620].

B64C5813817143C535C1F639B1B6A76A64D49Ed40086C

Klasifikasi menentukan kesesuaian sesuatu kandungan mengikut kategori umur penonton, manakala proses tapisan menilai kandungan secara menyeluruh berdasarkan undang-undang, dasar dan garis panduan yang berkuat kuasa.

Justeru, pemberian sesuatu klasifikasi umur tidak bermaksud sesebuah filem dikecualikan daripada proses tapisan.

Setiap filem tetap melalui proses tapisan dan penilaian oleh LPF. Namun, sesuatu kandungan tidak semestinya memerlukan pemotongan sekiranya hasil penilaian mendapati kandungan tersebut masih sesuai dikekalkan di bawah klasifikasi umur yang ditetapkan.

Penilaian dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira adegan, dialog, audio, tema, perlakuan dan konteks penceritaan. Pendekatan ini memberikan ruang kepada kreativiti untuk terus berkembang tanpa mengetepikan tanggungjawab LPF dalam menjaga kepentingan awam.

Namun, ruang yang diberikan melalui klasifikasi umur tidak mengetepikan tanggungjawab LPF untuk memastikan setiap kandungan mematuhi undang-undang, dasar dan garis panduan yang berkuat kuasa.

Sekiranya sesuatu kandungan didapati tidak memenuhi ketetapan tersebut, LPF akan mempertimbangkan tindakan atau penyesuaian yang bersesuaian berdasarkan konteks dan tahap risikonya. Kandungan yang tidak dapat disesuaikan bagi memenuhi ketetapan yang ditetapkan tidak akan diluluskan untuk tayangan.

Berteraskan keseimbangan antara keterbukaan berkarya dengan tanggungjawab melindungi kepentingan awam, LPF terus memperkemas pendekatan penapisan supaya lebih progresif, responsif, profesional dan bersesuaian dengan perkembangan industri.

Penilaian dilaksanakan berdasarkan kandungan, konteks dan risiko supaya kawal selia dapat dilaksanakan secara lebih bersasar, konsisten dan seimbang.

Dalam melaksanakan pendekatan ini, kepentingan awam dan negara kekal menjadi pertimbangan utama. Kandungan yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, moral serta sosiobudaya masyarakat akan terus diberikan penelitian sewajarnya.

LPF turut mengambil kira kepentingan nasional dan sensitiviti hubungan antarabangsa sekiranya sesuatu kandungan berpotensi memberi kesan terhadap imej negara, keharmonian masyarakat atau hubungan Malaysia dengan negara lain.

KDN dan LPF akan terus mendukung perkembangan industri perfileman negara dengan menyediakan ruang yang lebih luas kepada penggiat seni untuk menghasilkan karya yang kreatif, segar, kritis dan berkualiti.

Pada masa yang sama, tanggungjawab untuk memelihara keselamatan, ketenteraman awam, keharmonian masyarakat dan kepentingan negara akan terus dilaksanakan secara tegas dan profesional.

Keterbukaan dalam berkarya dan tanggungjawab terhadap kepentingan negara perlu bergerak seiring. Keseimbangan ini penting dalam membina ekosistem perfileman Malaysia yang matang, berdaya saing dan diyakini masyarakat.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.