Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini menganjurkan sidang media bersama di Menara MATRADE bagi mengumumkan inisiatif-inisiatif utama di bawah Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2026.

Sidang kemuncak ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hub halal global yang diyakini, di samping meluaskan peluang bagi pengeksport Malaysia dan rakan kongsi antarabangsa.
Sidang media tersebut dipimpin oleh Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, dan Dato’ Indera Abu Bakar Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, yang membentangkan visi menyeluruh GHaS 2026 serta program-program komponennya.
GHaS terus berfungsi sebagai platform utama negara untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dan penanda aras bagi industri halal.
Sidang kemuncak ini merupakan inisiatif kolaborasi bersama antara JAKIM dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berserta agensi-agensinya iaitu MATRADE, Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Jabatan Standard Malaysia (JSM).
Inisiatif ini turut diperkukuh oleh penglibatan Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh penyelidikan, inovasi, dan pembangunan pelancongan halal bagi menyokong pertumbuhan ekosistem halal Malaysia yang komprehensif.
Mengulas mengenai visi strategik sidang kemuncak ini, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, menyatakan bahawa
“GHaS 2026 berfungsi sebagai platform global yang penting untuk menyatukan pihak berkuasa halal, badan-badan pensijilan, warga akademik dan peneraju industri di bawah satu visi bersama berasaskan integriti dan inovasi.”
“Melalui komponen utama seperti Konvensyen Badan Pensijilan Halal dan sesi pembangunan kapasiti teknikal, kami berhasrat untuk menangani cabaran moden yang kompleks, seperti isu-isu fiqh kontemporari, teknologi makanan baharu, dan pematuhan piawaian kawal selia global, sambil memperkukuh standard emas Malaysia dalam tadbir urus halal.”
Komponen Utama GHaS
Konvensyen Badan Pensijilan Halal (Halal Certification Bodies Convention (HCBC) yang diadakan bersempena dengan Global Halal Summit (GHaS) pada 22 hingga 23 September 2026 akan mengangkat tema “Syariah dan Integriti: Memperkasa Ekosistem Halal” (Shariah and Integrity: Empowering Halal Ecosystem).
Konvensyen ini akan menghimpunkan pihak berkuasa halal, badan pensijilan halal, pakar, ahli akademik serta pemain industri bagi membincangkan perkembangan semasa, cabaran baharu yang muncul serta hala tuju masa hadapan ekosistem halal global.
Sepanjang sidang kemuncak tersebut, beberapa siri pembentangan, forum dan sesi perkongsian pakar akan memberi tumpuan kepada pelbagai isu kontemporari dan strategik utama, termasuk pengauditan Syariah dan isu fiqh kontemporari.
Antara topik lain yang akan dibincangkan ialah penggunaan alkohol dalam produk makanan dan minuman, daging kultur, pensijilan halal vaksin, kewangan Islam, peraturan import dan eksport serta prosedur pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara.
Program Pembangunan Kapasiti Teknikal Halal Antarabangsa (International Halal Technical Capacity Development Programme (IHTCDP) juga akan diadakan sebagai sebahagian daripada program utama di bawah GHaS.
Program ini akan menawarkan sesi pembangunan kapasiti khusus merangkumi sektor-sektor utama halal, termasuk makanan dan minuman serta perkhidmatan makanan, kosmetik dan farmaseutikal, serta logistik halal.
Program ini akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang utama seperti keperluan Pensijilan Halal Malaysia, standard dan sistem jaminan halal, bahan ramuan halal kritikal, pensampelan dan analisis, pengurusan krisis halal, kebolehkesanan serta standard halal baharu.
Komponen Utama Program Perdagangan: MIHAS 2026
Sebagai platform perdagangan dibawah naungan GHaS, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-22 (MIHAS 2026) akan berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Bertemakan “Melakar Kepercayaan, Memacu Daya Tahan” (Shaping Trust, Driving Resilience), MIHAS 2026 akan menghimpunkan para pembeli global, peneraju industri dan pempamer merentasi 14 sektor berbeza.
Mengadaptasi inovasi teknologi bagi edisi tahun ini, Dato’ Indera Abu Bakar Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, menyatakan bahawa
“MIHAS 2026 bakal menampilkan keupayaan Agentic AI yang direka khusus bagi mempermudahkan proses pendaftaran, agar ianya lebih lancar, cekap dan efisyen bagi pembeli, pempamer serta pengunjung.”
“Melalui analisis kategori produk, kepentingan perniagaan (business interest) dan keperluan pembeli, platform AI ini secara pintar memudahkan pemadanan perniagaan (B2B).”
“Langkah ini membolehkan rakan kongsi berpotensi, termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan serta Syarikat Peringkat Pertengahan (MTC), untuk saling berhubung dan berkomunikasi secara berkesan sebelum berjumpa di ruang pameran.”
“Platform ini turut menawarkan sokongan navigasi masa nyata untuk menunjuk arah pengunjung ke reruai dan pampamer tertentu, manakala sokongan lapan bahasa memastikan ketercapaian yang lancar bagi delegasi antarabangsa kami.”
“Saya bangga melihat inovasi tempatan Malaysia menerajui langkah ini, dengan Agentic AI bekerja secara proaktif di sebalik tabir demi menawarkan pengalaman yang disesuaikan khusus bagi setiap peserta.”
Secara keseluruhannya, program-program ini mencerminkan skop GHaS 2026 yang komprehensif sebagai platform strategik antarabangsa bagi pertukaran ilmu, pembangunan kapasiti dan kerjasama merentas ekosistem halal.
Program-program ini dirangka untuk meningkatkan pengetahuan teknikal dan kompetensi, memudah cara perkongsian kepakaran dan amalan terbaik, serta memperkukuh kerjasama antara pihak berkuasa halal, badan pensijilan halal, institusi akademik dan pihak berkepentingan industri.
