Jemaah haji terakhir yang dibawa pulang ke Malaysia, Asmah Mansor, 71, yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Perkara itu dimaklumkan oleh anak sulungnya, Haizan Runsah, 49, selepas menerima taklimat kesihatan daripada pasukan perubatan hospital tengah hari tadi.
Artikel berkaitan: Terima Rawatan Di Hospital Makkah Sejak 13 September, Hajah Asmah Kini Di ICU Putrajaya
Artikel berkaitan: Dirawat Sejak September, Jemaah Haji Wanita Malaysia Sedang ‘Bertarung’ Dengan Pneumonia
Haizan berkata, ibunya masih memerlukan bantuan pernafasan melalui tiub yang disambungkan kepada mesin pernafasan pada bahagian leher.
Melihat keadaan ibunya, Haizan bersyukur kerana Asmah sudah sedar, namun tidak dapat bercakap banyak.
“Apa yang menyedihkan apabila saya dan adik-adik terpaksa berkongsi berita kematian ayah dua minggu lalu kepada mak.
Selama ini kami simpan kerana bimbang keadaan mak di sana.
Mak memang menangis apabila dapat tahu ayah sudah tiada. Tapi kami cuba pujuk dan mak menerima dengan reda,” katanya.
Menurutnya lagi, beberapa prosedur rawatan akan dilakukan bagi menilai kondisi kesihatan ibunya memandangkan laporan perubatan yang diterima dari hospital di Makkah sangat terhad.
“Doktor sudah menemubual mak dan saya tadi untuk diagnos. Doktor juga beritahu akan lakukan ujian CT Scan semula bagi melihat perkembangan kesihatan mak,” ujarnya.
Sebagai info, Asmah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya.
Sumber: Harian Metro
