Pada 23 Julai lalu, Malaysia dikejutkan dengan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Pemergiannya itu membuatkan ramai hiba kerana beliau seorang menteri yang disegani dan antara sumbangan terbesarnya adalah inisiatif Rahmah yang banyak membantu golongan kurang berkemampuan.
Semalam, anak kepada Allahyarham, Fatihah Salahuddin hadir ke Dewan Rakyat untuk mencabut plat nama ayahnya di situ.
Dalam perkongsian Facebook miliknya, Fatihah menceritakan dirinya merasa sebak dan sayu sejurus memasuki Dewan dan airmatanya terjatuh mengenangkan arwah bapanya.
“Rasanya baru seperti semalam kami bekerja keras untuk memenangkan ayah di P161, Parlimen Pulai.
Parlimen telah menjadi satu keluarga besar buat ayah. Menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian selama 2 penggal (2004-2013) dan Ahli Parlimen Pulai (2018-2023).
Secara peribadi, Parlimen juga adalah keluarga besar buat saya. Saya berpeluang bekerja dengan warga Parlimen sebagai Setiausaha Sulit Tan Sri Ariff, Speaker Dewan Rakyat daripada 2018-2020,” tulisnya.
Fatihah menceritakan dia banyak membantu dan diberikan tanggungjawab oleh bapanya untuk menguruskan hal ehwal Parlimen ketika bapanya itu masih memegang portfolio tersebut.
“Sudah dua minggu ayah tinggalkan kita semua. Kerusi ini adalah milik rakyat.
Datangnya daripada mandat rakyat, pulangnya kepada rakyat yang bakal memilih dan memberi mandat,” luahnya lagi.
Sebagai info, Datuk Seri Salahuddin meninggal dunia selepas pembedahan untuk pendarahan otak.
Sama-sama kita sedekahkah Al-Fatihah untuk Allahyarham…
Baca: Pelopor Menu Rahmah Meninggal Dunia, Ini Apa Korang Perlu Tahu Tentang Salahuddin Ayub