Berita pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub amat memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Terbaharu, anak kepada Allahyarham Salahuddin mendedahkan mereka sekeluarga pernah hidup susah yang menjadi pendorong kuat arwah bapanya bekerja keras membantu rakyat.
Menerusi perkongsian Fatihah di laman Facebook, mereka sekeluarga pernah makan hanya berlaukkan keropok, malah bapanya pernah berhutang membeli susu di kedai Cina untuk mereka adik-beradik yang masih kecil.
Fatihah yang juga seorang peguam berkata, ibu mereka hanya membekalkan wang sebanyak 30 sen untuk membeli jajan jika bapa mereka tiada di rumah.
“Kami membesar dengan didikan mak dan ayah yang mengajar kami untuk mengenal nilai. Bukan untuk mengenal pangkat dan harta. Kami bukanlah asal keluarga senang. Kami juga pernah merasai erti kesusahan dan kesempitan. Terpahat di memori apabila ayah bawa kami lima beradik naik motor pergi kedai untuk belanja kami jajan dan aiskrim.
“Kalau ayah tiada di rumah, kami hanya dapat 30 sen untuk belanja jajan daripada emak,” katanya.
Impian ayah meninggal dunia ketika berbakti kepada rakyat
Fatihah turut berkongsi luahan bapanya yang mahu dijemput ‘pergi’ ketika sedang bekerja yang akhirnya dimakbulkan Allah apabila Salahuddin meninggal dunia di hospital pada Ahad lalu ketika dalam tugasannya di Kedah.
Katanya, arwah bapanya menyuarakan hasrat itu dua bulan lalu, juga pernah menyatakan ahli politik perlu sentiasa bekerja dan tidak boleh pencen bagi membolehkan mereka sentiasa cergas.
“Ayah secara spontan jawab ahli politik tak boleh pencen. Kalau dia pencen, otak dia tak gerak tak tahu nak fikir apa, sebab itu saya selalu berdoa kalau saya pergi, biarlah dalam keadaan saya bekerja begini,” katanya.
Fatihah turut berkongsi, arwah bapanya seorang yang lembut dan mendekati setiap anaknya seorang demi seorang untuk mengetahui perkembangan pembelajaran dan masalah dihadapi mereka.
Dia menjelaskan, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu adalah medan pertama dan terakhir buatnya menjadi pengurus kempen bagi arwah bapanya itu.
Pada akhir hantaran, dia reda dan berterima kasih kepada arwah bapanya atas segala memori, kasih sayang dan didikan yang diberikan kepada mereka selama ini.
Al-Fatihah…
Baca: “Saya akan continue Menu Rahmah ini” – Bos MYDIN Sebak Mengenang Pemergian Salahuddin Ayub