Baru-baru ini, kecoh apabila pelakon terkenal Thailand, Tangmo Nida ditemui mati selepas didakwa terjatuh daripada bot semasa berada di Sungai Chao Phraya.
Kejadian ini mendapat perhatian meluas sehingga ke negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia apabila kronologi dan suspek yang berada bersama di atas bot dilihat mencurigakan.
Maafkan suspek
Terbaharu, ibu kepada Tangmo, Panida Siriyuthayothin bersetuju untuk memaafkan dua rakan lelaki yang turut bersama anaknya ketika di atas bot pada malam kejadian.
Menerusi satu sesi temu bual, ibu Tangmo berkata dia membuat keputusan untuk memaafkan pemandu bot, Phaiboon Roberts dan pemilik bot, Danupat ‘Por’Lerttaweewit. Tindakan wanita ini ternyata mengejutkan ramai pihak.

Jelas Panida, dia menerima permohonan maaf itu selepas dua individu tersebut kerap menghubunginya untuk meminta maaf dan mengaku kesal dengan apa yang terjadi.
“Dia berjanji untuk menjaga saya seperti yang dilakukan (Tang) Mo. Saya memaafkannya kerana dia berterusan cuba menghubungi saya dan dia tahu saya sedang marah,” kata Panida.
Pampasan RM3.8 juta
Panida turut akan dijanjikan pampasan di atas pemergian mendiang. Difahamkan, dia akan menerima sejumlah 30 juta baht, bersamaan dengan RM3.8 juta sebagai pampasan.
“Dia memberitahu saya untuk mengira pendapatan Tangmo Jika Tangmo menerima tawaran berlakon dengan harga 800,000 hingga 1 juta baht setiap siri. Jika dia masih hidup selama 30 tahun lagi, dia mungkin akan mendapat lebih daripada jumlah itu”, terang wanita itu.
Untuk rekod, sebelum ini Panida berkata dia tidak akan memaafkan semua yang terlibat dengan kematian anaknya dan dia tidak percaya ia adalah berpunca daripada kemalangan.
Meninjau di media sosial, tindakan Panida ternyata kurang diterima oleh mereka yang mengikuti perkembangan kes ini. Jelas sesetengah warganet, Panida tidak sepatutnya menerima pampasan tersebut dan meneruskan siasatan sehingga kebenaran terbongkar.
Apa pendapat anda tentang tindakan ibu Tangmo ini?
Kredit: Awani
BACA: Kematian Aktres Thailand Tangmo Nida Jadi Misteri, Ibu Tak Percaya Anak Mati Jatuh Bot

