Setiap hari mesti ada je kan cerita-cerita viral yang berlaku di Malaysia sampai kadang-kadang susah betul kita nak ikuti semua. Tapi pada masa yang sama kita pun tak naklah terlepas isu-isu semasa yang tengah berlaku sekarang ni kan?
Jadi macam biasa, #LobakMerahTOP5 akan senaraikan berita-berita hangat, sensasi dan viral yang berlaku pada minggu ini supaya korang sentiasa up-to-date dengan isu semasa yang berlaku di Malaysia sekarang.
1. Shuib dedah tak nak panggil Rahim jadi tetamu podcast
Sesi live TikTok pelawak terkenal, Shuib baru-baru ini hangat apabila dia telah bertanyakan kepada netizen mengenai cadangan nama individu yang boleh dijadikan sebagai tetamu undangan dalam sesi podcastnya yang akan datang.
Ini kerana, ketika live tersebut, Shuib mengatakan yang dia tidak akan menjemput bekas ahli kumpulannya, Rahim untuk hadir ke sesi podcast miliknya.
Perkara ini telah menyebabkan ramai netizen berspekulasi tentang hubungannya dengan Rahim. Selain itu, ramai juga mengingatkan Shuib bahawa Rahim pernah menyarungkan PPE ketika Allahyarhamah isterinya, Siti Sarah dikebumikan beberapa tahun lepas.
Artikel berkaitan: “2 nama ni memang aku tak panggil” – Ini Respon Shuib Bila Netizen ‘Petik’ Nama Rahim Sebagai Tetamu Undangan Podcast
2. Hannah Yeoh dikecam lepas muat naik gambar dengan atlet Thailand
Baru-baru ini, satu hantaran dari Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh telah mendapat perhatian ramai apabila beliau telah memuat naik gambar bersama pemain badminton Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang berjaya mengalahkan pemain kebangsaan, Lee Zii Jia dalam semi final badminton yang lepas.
Dalam perkongsian tersebut, Hannah Yeoh juga mengakui minat dengan gaya permainan pemain badminton tersebut dan memuat posting bergambar dengan Kunlavut di Instagram.
Posting tersebut walau bagaimanapun telah menerima beberapa komen daripada netizen yang menegur tindakan Hannah dengan mengatakan dia tidak sepatutnya memuji pemain badminton dari negara lain.
Ada juga yang merasakan posting tersebut agak tidak sensitif kerana sebelum ini pemain kebangsaan kita telah dikalahkan oleh Kunlavut.
Namun begitu, Hannah telah menjelaskan tindakannya itu menunjukkan semangat kesukanan dan sebagai Menteri Belia, beliau juga bertanggungjawab untuk menjalinkan hubungan baik dengan negara lain.
Artikel berkaitan: Hannah Yeoh Kongsi Foto Bersama Kunlavut Vitidsarn, Netizen Luah Rasa Tidak Puas Hati
3. Norza Zakaria bawa keluarga ke Olimpik Paris
Ketika perlawanan badminton separuh akhir Olimpik Paris lalu, beberapa gambar tular memaparkan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria hadir ke perlawanan itu dengan keluarganya.
Perkara itu menimbulkan kemarahan netizen kerana terdapat atlet yang tidak dapat membawa jurulatihnya kerana ketiadaan kuota.
Pun begitu, MOM memaklumkan presidennya itu tidak menggunakan dana kerajaan untuk perjalanan keluarganya ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Dalam kenyataan itu, difahamkan semua perbelanjaan untuk keluarganya dibiayai secara peribadi oleh Norza.
Malah, MOM juga berkata kehadiran Norza di Sukan Olimpik, termasuk keluarganya, mematuhi sepenuhnya peraturan International Olympic Committee (IOC) dan MOM.
Dalam pada itu, mengulas kuota khas yang menjadi kritikan ramai pihak, MOM memberitahu kuota itu diperuntukkan khas untuk pucuk pimpinan mana-mana badan, majlis atau jawatankuasa Olimpik negara masing-masing.
Ia meliputi mereka yang memegang jawatan seperti Presiden dan Setiausaha Agung, selain Ketua Negara, dan Menteri Sukan.
Artikel berkaitan: MOM Sahkan Norza Zakaria Bawa Keluarga Ke Olimpik Paris Dengan Dana Sendiri
4. Ibu rembat wang kemenangan atlet olimpik?
Di sebalik kemenangan memperoleh dua pingat emas di acara Olimpik Paris 2024, atlet gimnastik dari Filipina, Carlos Yulo rupanya menyimpan kisah duka yang terbuku selama ini.
Hangat di ruangan media sosial susulan video yang dimuat naik oleh Carlos di TikTok, mendedahkan ibunya Angelica Yulo didakwa telah mengeluarkan duit daripada akaun banknya tanpa sebarang keizinan.
Menurut laporan media, Angelica telah memegang akaun bank Carlos dan dia juga telah merahsiakan tentang wang kemenangan milik Carlos dalam pertandingan yang pernah disertai sejak tahun 2020 lagi.
Walaupun Angelica telah menafikan tuduhan tersebut, dia mengaku telah memindahkan wang ke akaun peribadinya konon untuk simpanan masa depan Carlos.
Carlos menyatakan dia sebenarnya tidak kisah dengan wang tersebut, cuma dia mempersoalkan cara ibunya yang secara ‘senyap-senyap’ menguruskan wang itu tanpa persetujuannya.
Artikel berkaitan: “Dari 6 angka tinggal 5 ribu” – Atlet Olimpik Dakwa Ibu ‘Rembat’ Wang Kemenangan ‘Senyap-Senyap’
5. Ramai kagum lihat EXCO Negeri Sembilan tahu 9 adat
Satu sesi podcast daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon telah mencuri tumpuan netizen di media sosial.
Dalam sesi tersebut, Nicole Tan Lee Koon menceritakan mengenai 9 identiti adat Negeri Sembilan dari pelbagai aspek dan ia membuatkan ramai netizen kagum.
Dalam podcast tersebut, beliau menceritakan lebih lanjut mengenai adat perpatih yang dipraktikkan di Negeri Sembilan, misalnya seperti masakan lemak cili api, tarian piring, rumah bumbung panjang, lagu tradisional dan apa yang menarik tumpuan netizen di TikTok adalah baju tradisi yang dinamakan Baju Setengah Tiang.
Artikel berkaitan: “Raya tahun ni, baju setengah tiang” – Fasih BM & Arif 9 Adat, Netizen Kagum Dengan Exco Pelancongan Negeri Sembilan