Benarlah kata pepatah Melayu, ‘jangan kerana marahkan nyamuk seekor, habis satu kelambu dibakar’. Dek kerana berang dihalau dari rumah sewa, tak pasal-pasal rumah orang lain pula terkena tempiasnya.
Menurut MMO, seorang nelayan telah didakwa membakar rumah sewanya hingga menyebabkan 60 buah kediaman lain yang berdekatan di Kampung Titingan, Tawau hangus dalam kejadian yang berlaku tengah malam semalam.
Suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 47 tahun dikatakan berbuat demikian akibat berang selepas dihalau tuan rumah kerana gagal melunaskan sewa rumah yang sudah tertunggak selama tujuh bulan.
Lelaki tersebut dipercayai telah memulakan kebakaran di rumah sewanya dekat Blok 8 yang seterusnya merebak ke Blok 6 dan 7. Sebanyak 300 orang penduduk dilaporkan tinggal sehelai sepinggang berikutan kebakaran tersebut yang dijangka berlaku kira-kira jam 12.45 tengah malam.
Berikutan kejadian itu, pasukan Bomba dan Penyelamat mendapat panggilan pada jam 12.55 pagi dan mengerahkan sebanyak 26 anggotanya untuk memadamkan kebakaran. Api yang marak berjaya dikawal kira-kira jam 2.28 pagi dan dipadamkan pada jam 4.03 pagi.
Dalam pada itu, suspek telah berjaya diberkas oleh penduduk yang menyedari tindakannya kira-kira jam 3 pagi. Menurut ketua polis daerah Tawau, ACP Fadil Marsus, suspek disyaki positif dadah methampetamin dan direman untuk siasatan lanjut.
Akibat daripada kebakaran itu, seorang warga emas, Sabon Ola, 82 dilaporkan meninggal dunia di hospital.
Berpada-padalah kalau marah tu. Jangan sampai menyusahkan orang lain! Semoga mereka yang terlibat dalam keadaan selamat.
Baca: Suami Tidak Berjaya Selamatkan Isteri, Meninggal Dalam Kebakaran di Depan Mata