Sebuah kenderaan mewah dipandu seorang warga asing menjadi tular apabila merempuh sebuah ambulans membawa seorang pesakit hingga terbalik.
Kejadian itu berlaku pada 11.45 malam di persimpangan lampu isyarat Lebuh Bestari berdekatan Menara Usahawan, Putrajaya.
Dalam satu kenyataan, pihak polis menafikan dakwaan sebuah klip video tular mengenai seorang pemandu mabuk merempuh ambulans semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz dalam satu kenyataan malam ini meminta orang ramai supaya tidak membuat andaian mengenai kejadian itu dan jika mereka berada di tempat kejadian diharap melaporkan kepada polis.
“Siasatan pegawai penyiasat di lokasi kejadian mendapati pemandu berkenaan tidak di bawah pengaruh alkohol dan saringan air kencing lelaki itu didapati negatif.
“Laluan untuk pemandu kereta itu berjalan seiring dengan kenderaan lain di lorong kanan dan kiri serta kereta itu tidak dengar atau melihat siren ambulans kerana keretanya terhalang dengan kenderaan sebelah yang berjalan seiring,” katanya, menurut Bernama.
Siasatan mendapati ambulans dinaiki tiga kakitangan Hospital Putrajaya itu dalam perjalanan ke hospital selepas mengambil seorang pesakit di Presint 18.
Artikel berkaitan:“Mana parents dia?” – Terjatuh Keluar Dari Kereta, Netizen Seriau Tengok Budak Kecil Dilanggar 2 Kali
Artikel berkaitan: Penunggang Motosikal Maut Berlanggar Dengan Kereta Dipandu Vokalis Kris
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, ambulans berkenaan sedang melalui persimpangan lampu isyarat itu dengan membunyikan hon dan siren sebelum tiba-tiba dilanggar kereta dari arah bertentangan.
Pemandu berkenaan panik dan tidak sempat brek sebelum melanggar ambulans tersebut.
Akibat daripada rempuhan itu, ambulans berkenaan terbalik dan tiga mangsa termasuk dua penumpang ambulans dan seorang pesakit mengalami kecederaan manakala pemandu kereta dan penumpang tidak mengalami kecederaan.
Sentiasa peka terhadap sekeliling anda ketika memandu dan berikan laluan kepada petugas awam yang sedang melakukan tugasan mereka.