Sekumpulan monyet bertindak membunuh lebih 250 ekor anjing di India baru-baru ini.
Kejadian monyet mengamuk itu dilaporkan berlaku selepas beberapa ekor anjing dikatakan telah membunuh seekor anak monyet di daerah Majalgaon, India. Memetik laporan The Sun, beberapa ekor monyet telah mendekati anjing yang berkeliaran itu dan menangkapnya. Monyet-monyet itu kemudiannya mencampak anjing yang ditangkap dari kedudukan yang tinggi.
Di kampung yang berhampiran, Lavool, kejadian yang hampir sama telah dilaporkan berlaku. Kesemua anjing liar yang berada disitu telah dihapuskan oleh kumpulan monyet. Penduduk walau bagaimanapun telah menghubungi pihak berkuasa untuk menangkap monyet-monyet itu namun mereka gagal berbuat demikian.
Penduduk di Lavool percaya kumpulan monyet itu sedang membalas dendam kepada anjing liar dan kini sedang menyerang penduduk di situ.
Untuk rekod, penduduk di Majalgaon melaporkan bilangan anjing liar di kampung itu berkurangan secara mendadak akibat aktiviti ‘balas dendam’ yang dilakukan oleh kumpulan monyet itu. Turut dilaporkan, monyet-monyet itu kini sedang menyasarkan kanak-kanak dan hal itu telah menimbulkan panik dalam kalangan penduduk tempatan.
Sumber: The Sun
Baca: Jabatan Kesihatan Jawab Isu Tular Kononnya Beruk Di Gua Musang Positif Covid