Laporan siasatan tribunal Australia mendedahkan syarikat penerbangan yang terbabit dalam nahas pesawat pada tahun 1976 yang meragut nyawa ketua menteri Sabah ketika itu, Fuad Stephens dan 10 yang lain sebenarnya beroperasi secara haram.
Menurut laporan tersebut, Sabah Air menghantar draf manual operasi syarikat itu pada penghujung 1975 tetapi tidak diluluskan oleh Jabatan Penerbangan Awam.
Tambah tribunal berkenaan, beberapa fakta lain yang ditemui sepanjang proses siasatan mendedahkan bahawa bukan sahaja Sabah Air mempunyai “operasi yang lemah” tetapi turut melibatkan “kegagalan di pihak Jabatan Penerbangan Awam” dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pihak berkuasa yang memberikan kelulusan.
Tambah laporan berkenaan, maklumat yang didedahkan berkenaan relevan dengan insiden tersebut sekiranya dilihat secara jelas dan terperinci, satu insiden pasti akan berlaku, sama ada cepat atau lambat.
Kemalangan yang dikenali sebagai “Tragedi Double Six” tersebut turut meragut nyawa menteri Salleh Sulong, Chong Thien Vun dan juga Peter Mojuntin. Nahas berlaku apabila pesawat jenis GAF Nomad yang dikendalikan syarikat Sabah Air berkenaan terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.
Susulan dari kemalangan tersebut, pembuat GAF Nomad dari Australia serta Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan bagi membuktikan nahas tersebut bukannya berpunca daripada isu mekanikal seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Laporan awal menyatakan punca kemalangan adalah tindakan juruterbang yang membenarkan pesawat berkenaan membawa beban melebihi had dan keadaan tersebut telah menyebabkan dia hilang kawalan dan terhempas ketika cuba lakukan pendaratan.
Dalam laporan yang didedahkan tersebut, dua lagi juruterbang pesawat Nomad Sabah Air yang ditemuduga mendakwa mereka tidak pernah peduli untuk membuat kiraan beban yang dibawa pesawat secara fizikal sebelum berlepas.
Sebaliknya, menurut laporan, juruterbang berkata, mereka hanya melihat lokasi bagasi yang berada di dalam tempat penyimpanan pesawat berkenaan sahaja. Sekiranya ia nampak memuaskan, mereka akan berlepas.
Sumber : FMT