Sebelum ini media seberang dikejutkan dengan tindakan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang kurang berpuas hati dengan kualiti buku teks sekolah di negara berkenaan.
Terbaharu, kerajaan Indonesia dilaporkan sedang mengumpul dan memborong buku-buku teks sekolah dari Malaysia serta beberapa negara jiran lain di Asia Tenggara.
Menteri Setiausaha Negara Indonesia, Prasetyo Hadi memaklumkan bahawa langkah itu diambil bagi menjadikan buku teks dari luar negara sebagai penanda aras (benchmark) untuk menambah baik buku sekolah di Indonesia, merangkumi peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah.
Artikel berkaitan: Iklan ‘Visit Malaysia’ Dalam Tren Indonesia, Netizen Seberang Puji Strategi Pelancongan Malaysia
Artikel berkaitan: Pembantu Rumah Indonesia Islam Kongsi Pengalaman Masak Babi Untuk Majikan Di Taiwan

Selain Malaysia, buku teks dari Thailand, Brunei Darussalam, Timor Leste, Kemboja dan Vietnam turut diimport khas atas arahan Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya.
“Ianya bertujuan untuk meningkatkan kualiti buku teks untuk semua pelajar kita, daripada sekolah rendah, menengah rendah sehinggalah sekolah menengah atas,” katanya.
Menurut laporan portal Cabinet Secretariat of The Republic of Indonesia (Sekretariat Kabinet Republik Indonesia), idea pembaruan ini tercetus selepas Prabowo sendiri membuat lawatan mengejut ke beberapa buah sekolah dan memeriksa fizikal buku teks yang digunakan oleh para pelajar.
Hasil spot check tersebut mendapati kualiti pencetakan dan bahan buku di negara itu amat mengecewakan. Mana tidaknya, ada buku yang sudah rosak, mudah koyak, dan saiz cetakan tulisannya pula terlampau kecil sehingga memaksa pelajar membaca pada jarak yang sangat dekat.
Disebabkan itu, penilaian semula dibuat bukan sahaja dari segi kandungan pembelajaran, malah melibatkan kualiti fizikal dan kekemasan buku supaya lebih tahan lama serta selesa untuk dibaca oleh anak-anak sekolah.
