Setiap orang memiliki alasan, pilihan serta selera tersendiri apabila melancong. Ada yang mengembara untuk destinasi cantik, ada pula yang mencari keunikan budaya serta makanan dan bermacam-macam lagi.
Sekiranya korang merupakan mereka yang travel untuk mencari kepuasan dan pengalaman gastronomi yang terbaik atau sedang merancang perjalanan untuk tahun 2023, buku panduan pelancongan terkenal Lonely Planet baru-baru ini telah menyenaraikan 5 destinasi terbaik untuk pengalaman tersebut.
Senarai yang dikeluarkan secara tahunan ini akan mengumpulkan destinasi terbaik untuk pelbagai kategori dan akan dijadikan panduan oleh para penggembara dan pemain industri pelancongan di seluruh dunia.
Menariknya untuk tahun 2023, Kuala Lumpur telah tersenarai sebagai salah satu destinasi terbaik untuk kategori ‘Makanan’ yang membariskan 5 destinasi yang menawarkan pengalaman gastronomi yang berbaloi untuk dicuba.
Destinasi lain yang disebutkan dalam senarai berkenaan termasuklah Lima di Peru, Umbria di Itali, Fukuoka di Jepun, Montevido di Uruguay dan negara Afrika Selatan.
Menariknya, ulasan yang diberikan Lonely Planet untuk Kuala Lumpur menggambarkan ibu negara Malaysia ini kaya dengan pelbagai jenis makanan yang pastinya tidak mengecewakan.
Antara yang disebutkan adalah kepelbagaian ‘makanan jalanan’ atau street food yang ada di sini, pasar-pasar malam dengan pelbagai juadah ringan dan tidak dilupakan kehidupan malam yang meriah.
Selain itu, dalam panduan yang sama, Lonely Planet telah memaparkan dua artikel berkaitan dengan Kuala Lumpur iaitu panduan untuk menikmati makanan di Kuala Lumpur dalam satu hari, yang mana artikel tersebut menyentuh pelbagai topik menarik tentang makanan-makanan tempatan yang disumbangkan oleh warga tempatan yang arif tentang Kuala Lumpur.
@lonelyplanet Kuala Lumpur is one of our #BestInTravel ♬ original sound – Lonely Planet
Dalam masa yang sama, penulis turut menyenaraikan jenis makanan yang perlu orang ramai cuba kalau datang ke Kuala Lumpur seperti nasi lemak, kari ala Pulau Pinang dan juga Sup Perut Ikan Peranakan.
Untuk pengetahuan, senarai ‘Best in Travel’ yang dikeluarkan oleh Lonely Planet ini telah dipilih oleh pakar pengembaraan dan juga pemain industri seluruh dunia serta melibatkan sumbangan orang tempatan untuk setiap destinasi.
Budaya dan masakan Malaysia yang pelbagai pasti menjadikannya destinasi gastronomi yang menarik.
Baca : Langkawi Dinobatkan TOP 5 Pulau Wajib Dikunjungi Di Asia!