Kementerian Pendidikan (KPM) mengingatkan pentadbir sekolah untuk mengambil tindakan dalam setiap aduan yang dilakukan murid kerana semua jenis buli termasuk buli lisan (ejekan) adalah serius.
Penolong Pengarah Unit Pembangunan Sahsiah Murid Bahagian Pengurusan Sekolah Kementerian Pendidikan (KPM), Mohd Harith Mohd Rahim@Mohd Noor, berkata ejekan lisan yang dianggap kelakar oleh ramai pihak sebenarnya menjadi antara punca utama kepada perbuatan buli di sekolah.
“KPM pernah menerima aduan daripada murid sendiri bagaimana ejekan seperti ‘mak kau hijau, mak kau kuning’ yang kita anggap lawak memberi kesan terhadap emosi seorang murid, sehingga kesannya mangsa mahu terjun bangunan,” katanya.
Artikel berkaitan: “Kalaulah budak2 ni tengok content tu” – Alif Satar Bersuara Isu Jenayah Pelajar, Mahu ‘Up’ Semula Vlog Pelajar Banduan
Artikel berkaitan: Murid Tahun 4 Ditemui M*ut Di Sekolah, Polis Klasifikasi Sebagai Kes Buli
Katanya, guru dan pentadbir sekolah adalah barisan hadapan yang melaksanakan setiap dasar yang dilakukan oleh KPM.
“Jika barisan hadapan ini tak nak buat (melaksanakan dasar KPM), bagaimana kes buli ini boleh diselesaikan. Bagi KPM, buli adalah serius dan langsung tak boleh dikompromi,” katanya.
Tegasnya, pentadbir sekolah perlu melakukan siasatan rapi setiap aduan yang dibawa oleh murid bagi mengelakkan isu bertambah serius.
“Bila pengadu mengadu, pengetua atau guru besar kena jujur dan siasat aduan itu kerana KPM mempunyai sistem dan prosedur yang sudah dibangunkan sejak bertahun-tahun lamanya.
“Pengetua dan guru besar tidak boleh mengambil masa lama untuk ambil tindakan sehingga menyebabkan pengadu tidak mahu meneruskan kes kerana aduan itu masih tidak selesai-selesai,” katanya.
Sumber: Harian Metro