Ular adalah antara haiwan yang boleh membunuh manusia dan ada spesis yang mampu buat kita mati hanya dalam beberapa saat sahaja. Ini kisah tentang seorang pemuda dari India yang sanggup merisikokan nyawa dan ‘hidup bersama’ ular berbisa untuk membuktikan sesuatu.
Siapa Khaire? Bagaimana timbul rasa cinta terhadap ular
Khaire atau nama penuhnya Neelam Kumar Khaire merupakan ahli herpetologi India yang pernah mencatatkan Guiness Records pada tahun 1980 selepas berjaya meluangkan masa bersama ular-ular berbisa lebih dari 48 jam.
Difahamkan, beliau mula jatuh cinta pada ular pada usianya di awal 20-an. Ketika itu Khaire bekerja sebagai pengurus sebuah rumah percutian di Matheran, Bombay. Kawasan itu sering dikunjungi ular dan Khaire sering melihat kakitangan yang lain membunuh haiwan berbisa itu jika terserempak dengannya.
Namun, beliau tidak berbuat perkara yang sama kerana tidak sanggup membunuh haiwan itu apatah lagi, kebanyakan ular yang berkunjung ke rumah percutian tersebut tidak berbisa.
Saya benci (untuk) membunuh makhluk cantik itu dan kebanyakannya tidak berbahaya.”
Sejak itu, Khaire mula menangkap ular yang dijumpainya dan melepaskan ia semula di sebuah kawasan bukit. Lama kelamaan dia mula pula rasa berani dan sayang dengan ular berbisa.
Oleh itu, saya mula menangkap dan melepaskan mereka di bukit Sahyadri. Saya pernah menangkap ular dan membawanya ke Institut Haffkin di Bombay dan diberitahu ia beracun dan terlalu berisiko untuk dibawa dengan cara ini. Kejadian itu meningkatkan keberanian saya dan memulakan obsesi saya terhadap ular.”
Buat taman ular belakang rumah, target untuk masuk rekod Guiness
Khaire kemudian mendirikan taman ular kecil di halaman belakang rumahnya dan merancang untuk membina taman ular besar yang lengkap dengan pusat penyelidikan.
Disebabkan itulah, dia ‘aim‘ untuk buat rekod Guiness dengan tujuan untuk menarik pelabur dalam usaha membina taman ular tersebut. Selepas semuanya diaturkan, Khaire teruja untuk menghabiskan masa bersama ular-ular berbisa di dalam sebuah sangkar kaca.
Menurut laporan, Guinness Records sudah maklumkan pada Khaire yang beliau boleh keluar dari sangkar kaca itu setiap hari selama setengah jam. Namun, Khaire begitu tekad untuk tidak keluar langsung dari sangkar tersebut selama 72 jam.
Ketika itu usianya 28 tahun dan berita tersebut menggemparkan penduduk setempat dan membuatkan mereka hadir untuk menyaksikan sendiri Khaire berada di dalam kaca berkenaan.
‘Hidup’ bersama 72 ekor ular berbisa selama 3 hari 3 malam
Melalui gambar, Khaire dilihat duduk di atas kerusi dan di dalam sangkar itu juga terdapat sebuah meja selain dikelilingi 72 ekor ular paling berbisa di India iaitu:
- 27 kobra monosel
- 24 ular Russell
- 9 kobra binokelat
- 8 krait berikat
- 4 ular biasa
Meskipun ditentang hebat pihak berkuasa tempatan termasuk polis, Khaire tetap teruskan rancangan tersebut kerana mahu membuktikan bahawa ular hanya menggigit ketika ia diprovokasi.
Cipta rekod dunia
Ketika berada di dalam sangkar kaca itu, sekali pun Khaire tidak pernah digigit atau dipatuk ular-ular tersebut. Malah, jika ia mula melingkar di bahagian tubuh badannya, Khaire tidak berasa terganggu dan hanya meletakkan ular tersebut di atas tanah semula dengan lembut dan perlahan.
Khaire berjaya cipta rekod dunia dan menggantikan rekod yang dibuat oleh Peter Snyemaris, setahun sebelum itu di mana dia menghabiskan 50 jam bersama dengan 18 ular berbisa dan 6 ular separa berbisa di Johannesburg, Afrika Selatan.
Impian Khaire akhirnya tercapai dan pada tahun 1986, Khaire berjaya mendirikan Katraj Snake Park dengan bantuan daripada Perbadanan Perbandaran Pune. Kini, ianya dikenali sebagai Taman Zoologi Rajiv Gandhi berukuran 42 ekar dan turut menempatkan haiwan-haiwan selain ular.
Sumber: Oddity Central, India Today
Meremang bila bayangkan ular banyak-banyak tu. Min ni tengok ular daun pun dah takut hahaha!