in

“Sampai mati kena timbun” – Kenali Collyer Brothers Yang Tinggal Bersama 120 Tan Sampah Lebih 10 Tahun

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sesetengah manusia mempunyai hobi dimana mereka suka mengumpul barang. Tak kisah lah kalau ia buku, minyak wangi atau baju, semuanya akan disimpan untuk dijadikan koleksi atau kerana nilai sentimental.


Walaupun jarang berlaku, sesetengah orang yang mempunyai hobi mengumpul barang ini boleh berubah menjadi seorang pengumpul tegar atau lebih dikenali dengan terma hoarders.

Ada sesetengah hoarders ni sampai najis sendiri pun simpan dalam bekas. Gross!

Jadi, hari ini admin akan kongsikan kisah adik beradik Collyer yang merupakan hoarders paling teruk dalam sejarah.

Masalah mengumpul dua beradik ni jadi sangat teruk sampai kan mereka berdua mati dalam timbunan barangan dan sampah yang dikumpul.

Pertama kali nama adik-beradik Collyer didengari dunia

Segalanya bermula apabila pegawai polis New York menerima aduan daripada orang awam mengenai satu bau busuk yang datang dari sebuah apartment tinggal.

Apabila polis tiba di lokasi, mereka terkejut kerana rumah tinggal yang dikatakan itu dipenuhi dengan pelbagai jenis barangan. Sampaikan pihak berkuasa perlu menggunakan tingkap untuk memasuki premis.

Sebaik sahaja mereka masuk, pegawai polis terpaksa berdepan dengan timbunan barangan yang terlalu banyak sampai mencecah siling. Tidak cukup dengan itu, ada juga beberapa barang yang sudah mereput bersepah di merata tempat.

Disebabkan terlalu banyak barangan sampai susah untuk berjalan, anggota polis terpaksa mengambil masa lima jam untuk membuang sampah dan barangan melalui tingkap.

Lima jam hanya untuk bersihkan sampah sampai boleh jalan tau! Belum bersihkan satu rumah lagi.

Tak lama selepas itu, mereka membuat satu penemuan yang menggemparkan. Apa agak-agaknya?

Kalau korang nak tahu, selepas polis membersihkan beberapa barangan dan sampah untuk laluan, mereka telah terjumpa mayat Homer Collyer iaitu salah seorang daripada adik-beradik Collyer yang sudah mereput di atas lantai.

Hasil laporan bedah siasat, pihak berkuasa dapat mengenal pasti punca kematian Homer yang merupakan bekas peguam adalah kerana kelaparan dan serangan jantung. Homer dikatakan telah meninggal dunia kira-kira 15 jam sebelum pihak polis menjumpai mayatnya.

Penemuan mayat Homer telah menyebabkan polis New York melakukan operasi mencari abangnya iaitu Langley Collyer. Pada mulanya, Langley menjadi suspek utama dalam kes kematian Homer. Satu operasi mencari dilakukan polis untuk mengesan lokasi Langley.

Namun begitu, segalanya berubah tiga minggu selepas itu.

Penemuan mayat Langley Collyer

Sementara operasi mencari Langley Collyer masih berjalan, sebahagian pihak berkuasa lain ditugaskan untuk membersihkan rumah saudara Collyer.

Selain sampah-sarap yang menggunung sampai siling, mereka juga menemukan mesin X-ray dalam timbunan terbabit.

Selepas tiga minggu pihak berkuasa membersihkan apartment milik saudara Collyer, barulah mereka berjaya menemukan Langley Collyer yang sebenarnya juga sudah meninggal dunia dalam timbunan barangan koleksi mereka.

Ujian autopsi mendedahkan Langley Collyer sudah meninggal dunia beberapa minggu sebelum adiknya, Homer. Lebih malang, mayat mereka berdua sebenarnya hanya berjarak 10 kaki di antara satu sama lain. Tetapi disebabkan terlalu banyak sampah, pihak polis mengambil masa yang lama untuk menemukan Langley.

Ketika ditemui, mayat Langley dikatakan tersepit di antara sebuah almari dan rangka katil.

Langley berhenti kerja sebab nak jaga Homer

Mesti korang tertanya-tanya, apa yang jadi sebenarnya pada adik-beradik ni? Kenapa teruk sangat hidup dia orang?

Buat pengetahuan korang, pasangan adik-beradik Langley dan Homer Collyer ni memang terkenal dalam kalangan komuniti kerana sikap suka mengumpul mereka.

Bagaimanapun, hidup adik-beradik ni mula berubah pada tahun 1932 selepas Homer diserang strok sehingga dia hilang deria penglihatan. Disebabkan itu, Langley mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai seorang jurutera dan menjaga adiknya. Semenjak dari itu, saudara ini jarang keluar dari apartment mereka.

Lebih menyayat hati apabila beberapa tahun selepas diserang strok, Homer sekali lagi diserang penyakit yang membuatkan dirinya tidak boleh berjalan.

Langley dilaporkan tidak pernah bercinta atau berkahwin kerana sibuk menjaga adiknya. Oleh kerana tiada sesiapa yang bekerja, bekalan air dan eletrik rumah mereka akhirnya dipotong. Adik-beradik ini kemudiannya bergantung hidup dengan barangan yang dikutip Langley pada tengah malam.

Menurut teori orang ramai, Langley meninggal dunia selepas dia tidak sengaja terlanggar perangkap buatan sendiri yang dihasilkan untuk mengelakkan pencuri. Tidak lama selepas itu, Homer yang buta dan tidak boleh berjalan juga meninggal dunia.

Kini, bekas tapak rumah yang pernah didiami adik-beradik Collyer telah ditukarkan kepada sebuah taman poket.

Taman berkenaan diberi nama Collyer Brothers Park sempena memperingati kisah dua beradik itu.

Sumber: Medium

Baca: Hobi Pelik! Warga Emas Dari Jelebu Ini Kumpul Sampah Di Rumah Sampai 4 Tan

Sumber: Pinterest
Sumber: YouTube
Sumber: Iluminasi

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.