in

Kisah Benar Disebalik Siri Popular Netflix Tentang Kes Kehilangan Asunta, Rupanya Dibunuh Ibu Bapa Angkat?

Collage 7 19

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Netflix baru-baru ini telah mengeluarkan satu drama siri mini bertajuk The Asunta Case yang kini menduduki carta 10 cerita yang paling banyak ditonton di Malaysia buat masa ini. Siri ini merupakan  penceritaan semula tentang salah satu jenayah yang paling mengejutkan pernah berlaku di Sepanyol.

Di dalam The Asunta Case, pasangan kaya dari Santiago de Compostela, Sepanyol, Rosario Porto dan Alfonso Basterra telah mengambil seorang anak angkat dari China, Asunta Fong Yang pada tahun 2001. Dua belas tahun kemudian, mereka melaporkan bahawa Asunta telah hilang.


The Asunta Case Mc 240426 04 749B5D

Pada awalnya, pihak berkuasa telah menjalankan siasatan dan mengesyaki bahawa Asunta telah diculik. Namun begitu, selepas siasatan lebih lanjut dijalankan, pasangan tersebut telah ditahan kerana didakwa membunuh sekaligus mengejutkan semua orang di negara tersebut.

Korang boleh tengok drama enam episod ini di Netflix tapi sebelum tu apa kata korang baca dulu kisah benar yang berlaku ke atas Asunta Fong Yang dan apa yang berlaku kepada ibu bapa angkatnya.

Artikel berkaitan: “Harap semua berhenti berspekulasi” – Misteri Kematian Zayn Rayyan Hanya Akan Terungkai Ketika Perbicaraan

Artikel berkaitan: “Bukti kena cukup padu” – Ramai Tak Faham Dakwaan Ke Atas Ibu & Bapa Zayn Rayyan, Ini Penjelasan Peguam…

Kisah benar di sebalik siri Netflix The Asunta Case

650C9Ca3Bd6D9

The Asunta Case merupakan siri yang pembunuhan sebenar yang berlaku ke atas seorang kanak-kanak 12 tahun bernama Asunta Fong Yang. Selepas ibu bapa angkatnya melaporkan kehilangannya, mayat Asunta telah ditemui di tepi jalan dan ibu bapanya ditahan tak lama selepas itu.

Pada Jun 2001, Rosario Porto, seorang peguam dari utara Sepanyol dan suaminya, Alfonso Basterra, wartawan bebas dari Basque telah pergi ke China untuk mengambil seorang bayi sebagai anak angkat, Asunta Fong Yang.

Proses pengambilan anak angkat tersebut telah berjalan dengan lancar lebih-lebih lagi kerana pasangan ini datang dari latar belakang yang baik. Bapa Rosario telah berkhidmat sebagai konsul kehormat untuk Perancis manakala ibunya merupakan ahli sejarah seni di Universiti Santiago.

Dua minggu kemudian, pasangan ini telah membawa anak angkat tersebut ke rumah mereka yang terletak di Santiago. Semakin Asunta membesar, dapat diperhatikan yang dia merupakan seorang anak yang bijak sehinggakan dia telah lompat satu tahun ketika di sekolah menengah.

Rosario dikatakan telah memberitahu kawan-kawannya bahawa dia ada membaca yang anak-anak bijak ini jika diurus dengan baik mereka boleh menjadi bagus tapi boleh juga jadi masalah.

Asunta telah menghadiri kelas Bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman. Malah, dia fasih berbahasa Sepanyol dan Galician. Dia juga turut mengikuti kelas balet, biola dan piano dan dikatakan, beberapa kelas ini merupakan pilihannya sendiri.

Dia bangun pukul 7 pagi, belajar Mandarin dari 8 sehingga 10, datang ke balet dari 10.15 hingga 12.30, kemudian belajar Perancis sehingga masa makan tengahari dan kemudiannya kelas biola dan piano.” – Cikgu balet Asunta, Gail Brevitt.

Pada tahun 2009, Rosario telah mengalami masalah kesihatan mental dan menghabiskan masa dua malam di hospital sakit jiwa selepas dia mempunyai perasaan ingin membunuh diri, pasrah dan rasa bersalah. Wanita ini kemudian telah keluar dari hospital selepas dua hari dan hanya membuat rawatan susulan sekali sahaja dari yang dijadualkan.

Dua tahun kemudian, pada September 2013, Asunta telah kembali menyambung pengajiannya selepas bercuti di rumah pengasuhnya. Ketika percutian tersebut, ibu dan bapa Asunta hanya menghabiskan masa seminggu dari enam minggu percutian bersama anak mereka.

Pada ketika itu, Rosario sedang bersedih atas kematian ibu dan bapanya yang meninggal tak sampai dua tahun di antara satu sama lain. Selain itu, dia dan Alfonso turut bercerai pada awal 2013 selepas hubungan sulit Rosario dengan ahli perniagaan berjaya Manuel García diketahui suaminya. Kemudian, pada Jun tahun itu, Rosario telah mengalami serangan panik dan dimasukkan ke dalam hospital semula

Alfonso telah menemani Rosario di hospital dan membantunya sehingga pulang ke rumah. Mereka telah menghabiskan masa bersama di rumah Alfonso dan berfikir untuk kembali bersama semula. Untuk Asunta pula, dia meneruskan pembelajarannya seperti biasa.

Pada malam kematiannya pada 21 September 2013, Asunta dan ibunya telah makan tengah hari di rumah Alfonso, bermain kad dan menonton satu episod The Simpsons.

Apa yang berlaku kepada Asunta Fong Yang?

938.Jpg

Mayat Asunta telah ditemui terbaring di tepi jalan memakai seluar berwarna kelabu dan baju sejuk dengan warna yang sama serta baju t-shirt berwarna putih pada 22 September 2013.

Pihak polis pada ketika itu dah tahu siapa mayat tersebut ekoran sebelum itu, Rosario dan Alfonso telah datang ke balai polis Santiago untuk melaporkan kehilangan anaknya. Laporan pihak polis mengatakan bahawa Asunta telah meninggalkan rumah ibunya untuk membuat kerja rumah pada jam 7 malam sementara Alfonso telah pergi ke rumah keluarganya yang terletak sejauh 20 minit dari tempat mayat ditemui. Apabila Rosario pulang ke rumah pada jam 9.30 malam Asunta telah pun menghilangkan diri.

Pasangan ini memberitahu polis bahawa ketika cuti musim panas, Rosario sering dikejutkan dengan bunyi jeritan Asunta dan wanita ini melihat seorang lelaki memakai pakaian berwarna hitam dan memakai sarung tangan ada di dalam bilik anaknya. Rosario mengatakan yang dia telah pun memberitahu pihak polis mengenai insiden tersebut tapi membuat keputusan untuk tidak membuat laporan rasmi. Lebih mencurigakan, Rosario tidak memberitahu jiran-jirannya mengenai kejadian tersebut.

Rosario kemudiannya telah ditahan ketika pengebumian Asunta. Walaupun tak ada bukti fizikal yang mengaitkan dia dengan kenayah tersebut, pihak polis telah menemui rakaman CCTV menunjukkan wanita ini telah memandu kereta menuju ke rumah keluarga Alfonso bersama seorang kanak-kanak perempuan berambut panjang di sebelahnya. Masa video itu diambil adalah ketika Rosario mengatakan anaknya itu ada di rumah.

Selain itu, pemeriksaan forensik ke atas darah dan air kencing Asunta telah menemui kesan lorazepam yang tinggi. Ia merupakan bahan utama dalam ubat yang diambil oleh Rosario untuk serangan paniknya.

Disebabkan pihak polis merasakan bahawa Rosario tidak boleh menjalankan pembunuhan itu seorang diri, Hakim Taín telah mengarahkan agar Alfonso turut ditahan sehari selepas bekas isterinya ditangkap.

Apa yang berlaku kepada Rosario dan Alfonso?

Aaaaqbgvuxt7L3S4Egyazdluxhmydo6Fmcmgwkwakvfeuswdrxauhkmhf3Wd Tkd Rbdpzoi8Fvbo65Xgmm5Dpb1Udn34Zzrxqgcbqc2Cgm16Eldrnqpdp5U K8Tj96Mfvlgcxbbtf Petfugq Va3Ojxbfm

Dua tahun selepas penahanan Rosario dan Alfonso, pihak pendakwa raya telah membentangkan kesnya di hadapan juri pada 1 Oktober 2015. Ketika perbicaraan tersebut, Rosario tak boleh menjelaskan kenapa dia menipu tentang pergerakannya ketika hari kematian Asunta.

Tak cukup dengan itu, pasangan ini juga gagal memberikan sebab munasabah kenapa Alfonso telah memiliki lebih 170 pil yang mengandungi lorazepam dan kenapa ada 27 pil tersebut dalam badan Asunta. Kebanyakan pil ini diambil secara haram dengan menggunakan preskripsi Rosario atau Alfonso dan selebihnya diambil tanpa menggunakan preskripsi.

Menurut cikgu-cikgu di dua akademi muzik, beberapa bulan sebelum kematian Asunta, mereka perasan yang kanak-kanak itu tak boleh nak baca nota muziknya atau berjalan dengan betul. Menurut salah seorang pengendali akademi muzik, Isabel Bello, Asunta mengatakan yang dia telah mengambil serbuk berwarna putih.

Saya ambil serbuk warna putih. Saya tak tahu apa yang dorang bagi saya. Tak ada orang yang nak bagitahu saya benda sebenar.”

Malah, salah seorang rakan Asunta turut mendakwa yang dia telah melihat Asunta bersama bapanya pada hari kejadian di mana sebelum ini, Alfonso mengatakan yang dia berseorangan di rumah.

Pasangan ini telah didapati bersalah kerana membunuh Asunta dan dihukum penjara 18 tahun. Asunta dilaporkan meninggal dunia kerana sesak nafas dan telah diberikan dos lorazepam yang tinggi pada hari kematiannya.

Menurut laporan, dos tersebut sembilan kali lebih tinggi dari dos biasa yang diambil oleh orang dewasa. Tak cukup dengan itu, kanak-kanak ini juga dikatakan telah mengambil dos kecil ubat tersebut berbulan-bulan sebelum kematiannya.

Selama bertahun-tahun, pasangan ini telah menafikan bahawa mereka telah membunuh Asunta. Rosario ketika di dalam penjara telah membuat cubaan membunuh diri beberapa kali sebelum akhirnya meninggal dunia kerana bunuh diri pada November 2020. Manakala Alfonso kini sedang menjalani hukuman di penjara Teixeiro di Sepanyol.

Beberapa perkara mula timbul mengenai keluarga ini, antaranya, Alfonso dikatakan sering bertindak ganas terhadap isterinya sehingga merosakkan rumah tangga mereka. Namun begitu, sehingga hari ini motif pembunuhan tak pernah diketahui.

Sumber: Cosmopolitan

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.