Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), PAS memberi bayangan bahawa pemimpin parti itu yang bakal menerajui perikatan berkenaan tidak semestinya diwakili Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebaliknya individu yang akan diangkat sebagai Pengerusi PN adalah pemimpin parti itu yang diyakini mampu menggembleng kekuatan semua parti di bawah perikatan berkenaan.
Artikel berkaitan: Muhyiddin Yassin Nafi Dakwaan Curi Duit Parti, Tidak Bercadang Saman Tun Dr. Mahathir
Artikel berkaitan: Pasport Menantu Muhyiddin Yassin Telah Dibatalkan – Kementerian Dalam Negeri
“Tan Sri Muhyiddin menyatakan hasrat beliau untuk meletakkan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026. Saya yakin PAS akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui PN sebagai Pengerusi yang baharu.
Tidak semestinya Presiden parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh mengembleng kekuatan parti yang ada di bawah PN,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dilaporkan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN, dengan perkara itu disahkan beberapa pemimpin BERSATU termasuk Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Pada masa sama, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memaklumkan bahawa rombakan akan dilakukan terhadap organisasi PN bagi memberikan fokus yang lebih jelas kepada gerak kerja perikatan itu selepas ini.
Beliau turut menyifatkan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri itu sebagai satu langkah bijak dan tepat ketika PN memerlukan momentum baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sumber: Harian Metro
