Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini mengesahkan hasil siasatan jawatankuasa siasatan kematian Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Kenyataan ini dikeluarkan bagi memberi pencerahan di tengah-tengah desakan keluarga mangsa yang meminta bedah siasat kedua dijalankan.
“Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Kota Tinggi juga mengesahkan tiada kesan kecederaan pada jasad Allahyarham dan dapatan ini selari dengan hasil siasatan pihak polis,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tahun 2025 di Wisma Perwira, di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled lagi, siasatan yang dijalankan oleh jawatankuasa khas mendapati semua saksi, termasuk pegawai dan pelatih, telah menafikan sebarang aktiviti berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan yang berlangsung dari 27 Julai hingga 2 Ogos.
Artikel berkaitan : “Saya mohon bedah siasat kedua segera”; Ibu Pelatih PALAPES Mahu Kubur Anak Digali Semula
Artikel berkaitan : Saya syak anak saya dibel*sah;- Ibu Tak Percaya Dakwaan Pelatih PALAPES Meninggal Dunia Akibat Sawan
Beliau juga menegaskan laporan post-mortem dari Hospital Kota Tinggi mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan pada jasad mangsa, menyokong siasatan yang dijalankan.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa segala bantuan awal kepada mangsa telah diberikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh paramedik tentera.
Meskipun begitu, Menteri Pertahanan memaklumkan bahawa punca kematian sebenar hanya akan diketahui selepas satu atau dua bulan, apabila laporan penuh perubatan dikeluarkan dan sekiranya wujud unsur-unsur penderaan atau unsur jenayah, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan lanjut.