Kes Anna Kepner sekarang ini tengah hangat diperkatakan di Amerika Syarikat selepas remaja berusia 18 tahun dari Titusville, Florida telah ditemui mati di atas kapal layar ketika bercuti bersama keluarganya. Apa yang membuatkan situasi ni jadi lebih membimbangkan apabila kematiannya ini dikategorikan sebagai kes bunuh dan bukannya kemalangan.
Semakin banyak butiran kes didedahkan, semakin ramai menunjukkan minat mereka mengenai kes ini, lebih-lebih lagi bila ahli keluarga remaja ini sendiri kini sedang telah disiasat sebagai salah seorang suspek. Tak cukup dengan itu, memandangkan kejadian ini berlaku di perairan antarabangsa, penglibatan pihak berkuasa persekutuan dan maklumat limited yang didedahkan kepada orang awam ia telah menambahkan spekulasi tentang apa sebenarnya yang berlaku pada malam kejadian tersebut.
Kalau korang nak tahu kisah yang berlaku mengenai kes Anna Kepner ni, jom baca kat bawah ni.
Anna Kepner, remaja bijak dengan masa depan yang cerah

Anna Kepner merupakan seorang pelajar senior berusia 18 tahun di sebuah sekolah di Titusville, Florida. Dia diingati oleh kawan-kawan dan guru sebagai seorang yang ceria dan menyenangkan. Dia juga seorang pelajar yang aktif di sekolah dan disayangi oleh penduduk tempatan.
Selain mempunyai personaliti yang ceria, Anna mempunyai impian masa depan yang jelas. Dia telah mengambil ujian ketenteraan dan bercakap tentang minatnya untuk menyertai Tentera Laut Amerika Syarikat dan berharap dapat menjadi pegawai K-9.
Untuk keluarga Anna, percutian ini dibuat sebagai sambutan kenang-kenangan dan peluang untuk merapatkan ikatan kekeluargaan dengan keluarga tiri namun tak ada yang sangka percutian ini akan berakhir dengan tragedi.
Percutian yang berakhir dengan misteri

Anna telah menaiki kapal layar Carnival bersama bapa kandung, ibu dan adik beradik tirinya. Percutian ini dijadualkan akan berhenti di beberapa destinasi dan dipenuhi dengan aktiviti menarik.
Pada malam terakhir percutian ini, Anna dikatakan telah memberitahu keluarganya yang dia rasa tak sihat dan membuat keputusan untuk pulang ke kabin lebih awal dari keluarganya yang lain. Tapi bila remaja ini tak munculkan diri pada keesokan pagi, keluarganya mula risau. Apabila kru kapal dan pihak berkuasa cuba menjejaki Anna, mereka menemui remaja ini tak sedarkan diri di bawah katil dengan badannya dibaluti selimut dan ditutup dengan jaket keselamatan.
Siasatan kes Anna Kepner dan apa yang kita tahu setakat ini

Ekoran insiden ini berlaku di perairan antarabangsa, kes ini segera diambil alih oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI). Laporan awal mengesahkan bahawa Anna telah dibunuh dan punca kematian adalah disebabkan oleh asfiksia mekanikal. Penyiasat mendedahkan yang kecederaan yang dialami oleh Anna konsisten dengan tekanan ke atas lehernya. Ini bermakna, ada individu yang terlibat dengan kematiannya dan bukan disebabkan kemalangan atau sebab semulajadi.
Pihak berkuasa turut berkata terdapat kesan lebam pada leher Anna menandakan terdapat pergelutan yang berlaku. Namun begitu, tiada motif rasmi dapat disahkan dan pihak berkuasa kini sedang meneliti rakaman CCTV, log masuk kabin dan laporan dari saksi bagi mengetahui apa yang berlaku pada malam kejadian.
Namun begitu, keputusan toksikologi dan forensik masih belum dikeluarkan menjadikan banyak butiran penting masih belum diketahui umum.
Adik tiri salah seorang suspek?

Perhatian kemudiannya teralih kepada adik tiri Anna berusia 16 tahun yang dilaporkan berkongsi kabin dengannya sepanjang percutian ini. Dalam beberapa dokumen mahkamah berkaitan hak penjagaan antara ibu bapanya, dinyatakan bahawa remaja ini kini di bawah siasatan aktif pihak FBI berhubung kematian Anna.
Dokumen-dokumen ini tidak secara rasmi menuduh lelaki ini melakukan sebarang jenayah tapi mengesahkan bahawa penyiasat sedang meneliti pergerakannya ekoran dia merupakan salah seorang yang paling dekat dengan Anna ketika tempoh kejadian atas kapal.
Tak cukup dengan itu, datuk dan nenek Anna mendedahkan bahawa adik tirinya ini merupakan satu-satunya individu yang dilihat keluar masuk dari bilik kabin sekitar waktu Anna dipercayai dibunuh. Walaupun dakwaan ini belum disahkan oleh pihak berkuasa, ia telah menimbulkan spekulasi di kalangan orang awam.
Laporan lanjut turut mengatakan bahawa adik tiri Anna ini telah dibawa untuk pemeriksaan psikatri sejurus selepas kapal berlabuh. Selain itu, terdapat beberapa laporan media mengatakan bahawa adik tirinya ini telah menunjukkan obsesi luar biasa terhadap Anna. Antara dakwaan yang tidak disahkan termasuk membuat perlakuan tidak wajar ketika Anna sedang tidur.
Namun begitu, siasatan ke atas kematian Anna Kepner masih dijalankan dan pihak berkuasa masih belum menamakan suspek utama atau mengeluarkan keputusan forensik penuh. Ini menyebabkan keluarga Anna dan orang ramai masih menunggu jawapan tentang apa sebenarnya yang berlaku ke atas remaja ini pada malam kejadian.
Sumber: People, The Guardian, AP News, People, ABC News, New York Post
