Lantikan politik dalam badan berkanun, syarikat Kementerian Kewangan dan juga syarikat berkaitan kerajaan akan ditamatkan serta merta oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perkara tersebut diutarakan melalui surat pekeliling ringkas yang dikeluarkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan menurut laporan, ianya harus segera dilakukan.
Melalui surat pekeliling berkenaan, Ketua Setiausaha Kementerian, Mohd Zuki Ali , mendedahkan bahawa jemaah menteri dan mesyuarat jemaah menteri yang diadakan pada 14 Disember lalu memutuskan agar pengerusi dan ahli lembaga pengarah bagi badan berkanun persekutuan, syarikat kementerian kewangan, syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang dilantik secara lantikan politik ditamatkan dengan segera.
Sebelum ini, kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) berkenaan turut menamatkan perkhidmatan pemimpin tertinggi kerajaan.
Ini termasuk, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidin yang dicutikan dari Kementerian Kewangan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah yang “dibersarakan”.
Sejak mengambil alih pentadbiran, Anwar mengambil langkah drastik dalam pembentukan Kabinet dengan keanggotaan “lebih kecil” dengan dua timbalan Ahmad Zahid Hamidi dari Umno dan Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak.
Selain itu, keputusan menamatkan perkhidmatan lantikan politik hari ini dilihat sebagai usahanya untuk mengukuhkan peralihan pentadbiran selepas PH berjaya membentuk kerajaan bersama musuh tradisinya Barisan Nasional (BN) selain parti-parti politik dari Sarawak dan Sabah.