in

“Kenapa nama dia ada Tun?” – Ini Sejarah Keturunan Megat Terawis Yang Ramai Tak Tahu

Untitled design 3

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Baru-baru ini, kecoh dengan kemunculan nama ‘Tun Laila’ di media sosial ramai orang tertanya-tanya, siapa sebenarnya yang layak bergelar Tun? Bukan ke biasanya kita dengar nama ‘Tun’ ni digunapakai oleh tokoh negara sahaja macam Tun Mahathir? Tapi bila orang biasa pun ada nama ‘Tun’, netizen pun mula keliru.

Sebenarnya, bila kita bongkar balik sejarah, rupanya gelaran ‘Tun’ ni memang ada cerita panjang yang bermula sejak zaman Kesultanan Perak lagi! Jom kita kupas sama-sama.


Siapa Megat Terawis?

Kalau ikut dari rekod sejarah, semua ini bermula daripada keturunan Megat Terawis. Tapi siapa sebenarnya Megat Terawis?

megat terawis

Masa zaman kesultanan Perak dahulu, Megat Terawis merupakan Bendahara Perak dan bergelar sebagai Orang Kaya Bendahara Paduka Raja. Beliau ialah anak kepada Daulat Yang Dipertuan Pagar Ruyung dan keturunan pertama yang dilantik sebagai Bendahara Perak.

Megat Terawis ini pada awalnya datang ke Perak bersama-sama dengan Sultan Muzaffar Syah I untuk mendirikan kerajaan bersama. Namun tidak lama kemudian, berlaku perselisihan faham antara beliau dengan Tun Saban sehingga tercetus peperangan.

Perkara ini menyebabkan Sultan Muzaffar Syah I menawarkan jawatan Bendahara kepada sesiapa yang berjaya mencabut nyawa Tun Saban. Cabaran itu disahut oleh Megat Terawis, dan selepas kejayaan tersebut beliau menggantikan Tun Muhammad menjadi Bendahara Perak dengan gelaran Bendahara Paduka Raja.

Sejak itu, jawatan Bendahara Perak ini sentiasa diwarisi oleh keturunan Megat Terawis itu sendiri. Namun sekitar tahun 1756 hingga 1770, waris keturunan Megat Terawis, iaitu Bendahara Megat Abu Kasim telah meletakkan jawatan Bendahara dan menyerahkannya kembali kepada sultan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan sultan yang membina Istana di Pulau Indera Sakti dibawah kelolaan Bendahara.

Akibatnya, keturunan Megat Terawis pun berhijrah dari Perak Tengah, khususnya dari Kampung Gajah ke Kuala Kangsar selepas istana Sultan Perak telah dipindahkan ke sana.

Hari ini, makam Megat Terawis masih boleh diziarahi di Kampung Gajah, Perak, berhampiran tebing kanan Sungai Perak. Papan tanda dan binaan makam turut dipindahkan ke kawasan tersebut.

Jadi, secara ringkasnya sebelum keturunan Megat Terawis memegang jawatan Bendahara Perak, gelaran ‘Tun’ sudah pun digunakan oleh tokoh bergelar Bendahara. Secara tradisi, gelaran ‘Tun’ memang diberikan kepada bangsawan yang menjawat jawatan Bendahara sebagai tanda kemuliaan keluarga tersebut.

Artikel Berkaitan: “Kami dah selesai dengan damai” – Tun Laila Respon Sindiran Caprice Dakwa Pernah Memb*li – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Cucu Tun Mahathir Alami Kerugian Berjumlah RM1.8 Juta Lepas Rumah Dipecah Masuk – Lobak Merah

Tapi apa kaitan Tun dan Megat Terawis?

Ramai yang pernah dengar gelaran seperti Megat, Puteri dan Tun, tapi tak semua tahu asal-usul dan kaitan antara ketiga-tiga gelaran ini. Sebenarnya, semuanya berkait rapat dengan keturunan Megat Terawis, seorang tokoh penting dalam sejarah Perak. Dalam salasilah bangsawan ini, gelaran yang digunakan bergantung kepada jantina dan perkahwinan dalam keturunan tersebut.

Secara asasnya, lelaki yang berasal daripada keturunan Megat Terawis akan membawa gelaran ‘Megat’ di hadapan nama mereka. Sementara itu, perempuan daripada keturunan yang sama akan dikenali dengan gelaran ‘Puteri’. Ini adalah cara untuk menandakan bahawa seseorang itu berasal daripada darah keturunan Megat.

Namun, gelaran akan berubah apabila seseorang daripada keturunan ini berkahwin dengan orang biasa. Contohnya, jika seorang Puteri berkahwin dengan lelaki biasa yang bukan dari golongan bangsawan, maka anak-anak mereka tidak lagi mewarisi gelaran ‘Puteri’ atau ‘Megat’, sebaliknya akan diberikan gelaran ‘Tun’. Dalam konteks ini, ‘Tun’ menandakan bahawa seseorang itu masih ada darah keturunan bangsawan, tetapi melalui salasilah sebelah ibu dan bukan melalui keturunan langsung bangsawan lelaki.

Contoh yang sering disebut ialah Tun Sirah. Menurut sejarah, Tun Sirah adalah anak kepada seorang perempuan keturunan Bendahara, iaitu golongan bangsawan yang juga dihormati. Disebabkan ibunya berkahwin dengan lelaki biasa, Tun Sirah menerima gelaran ‘Tun’ – bukan ‘Puteri’ seperi ibunya. Perkara yang sama berlaku dalam keturunan Megat. Jika seorang Puteri Megat berkahwin dengan orang biasa, anak mereka jugak akan membawa gelaran ‘Tun’/

Kesimpulan, gelaran ‘Megat’, ‘Puteri’ dan ‘Tun’ bukan sekadar nama manis di hadapan nama seseorang. Ia mencerminkan susur galur dan latar belakang perkahwinan dalam keturunan bangsawan, terutamanya yang berkaitan dengan Megat Terawis. Ia juga menunjukkan bagaimana identiti sesuatu keluarga boleh berubah mengikut peredaran generasi dan perkahwinan antara golongan bangsawan dan orang biasa.

Kalau Tun Dr. Mahathir Mohamad? 

tun

Kalau ikut sistem adat istiadat negara kita, gelaran ‘Tun’ hanya boleh diperolehi melalui dua cara sahaja. Uniknya, kedua-dua cara ini tidak dibuka melalui sistem pencalonan, tetapi ditentukan oleh panel khas yang diketuai sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bukan senang tau nak dapatkan gelaran ‘Tun’ ni sebenarnya. Sebabnya, penerimaan dia sangat terhad iaitu dalam satu-satu masa hanya 25 orang sahaja boleh pegang gelaran ini.

Dua anugerah tertinggi yang membawa kepada gelaran ‘Tun’ ialah Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) dan Seri Setia Mahkota (SSM). Kalau penerimanya lelaki dan sudah berkahwin, isterinya secara automatik akan bergelar ‘Toh Puan’.

Sebagai contoh, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperoleh gelaran ‘Tun’ selepas menerima anugerah Seri Maharaya Mangku Negara. Manakala isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah turut menerima anugerah Seri Setia Mahkota, yang secara langsung memberikan beliau gelaran ‘Tun’.

Selain itu, setiap penerima anugerah ini juga akan menerima Kalung Darjah, Lencana Darjah dan Selepang Darjah yang wajib dipakai ketika menghadiri majlis-majlis istiadat rasmi.

Jadi, pendek kata hanya ada dua sebab sahaja yang menyebabkan nama seseorang itu ada ‘Tun’. Sama ada dia betul-betul merupakan salah seorang daripada keturunan Megat Terawis, atau dia menerima anugerah tertinggi negara.

Menariknya lagi, menurut laporan Harian Metro, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya membenarkan penggunaan nama ‘Tun’ untuk mereka yang betul-betul ada kaitan dengan keturunan Tun. Setakat ini, rekod menunjukkan ada seramai 4,726 pemilik nama ‘Tun’ di Malaysia!

Sumber: Iluminasi, Orang Perak, WordPress, Blogspot, Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.