Bagi seorang ibu yang pernah kehilangan anak dalam tragedi yang masih belum terungkai, berita kematian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ini seakan-akan membuka kembali luka lama yang masih dirasai selepas 13 tahun buat ibu kepada Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman.
Ruhani Hussin, 71, berkata, dia sendiri tidak mampu membaca atau mendengar berita mengenai kematian Irene Sofiya kerana tragedi itu mengingatkannya kepada apa yang berlaku terhadap anaknya.
Artikel berkaitan : “Rasanya mereka ada kawan lain” – Rakan Sangkal Dakwaan Irene Sofiya Bercinta Dengan Suspek
Artikel berkaitan : Fadhlina Dedah Dewan Sekolah Tiada CCTV, Nafi Irene Sofiya Diseret Dari Surau
Kedua-dua dibunuh di kawasan sekolah semasa berumur 16 tahun
“Hingga hari ini saya tidak mampu membaca atau mendengar tragedi yang menimpa Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemui mati dipercayai dibunuh kerana ia mengingatkan kejadian yang menimpa anak saya 13 tahun lalu.”
Katanya, terdapat persamaan antara kedua-dua tragedi itu apabila kedua-dua mangsa merupakan pelajar tingkatan 4 dan kejadian berlaku dalam kawasan institusi pendidikan.
“Kejadian Irene Sofiya dalam kawasan sekolah, manakala kejadian yang menimpa Allahyarham Ahmad Faris pula dalam kawasan asrama. Kedua-dua mereka adalah pelajar Tingkatan Empat ketika kejadian.”
“Saya sangat memahami apa yang dirasai oleh keluarga Allahyarham Irene Sofiya kerana saya terlebih dahulu melaluinya.”

Bagaimanapun apa yang membuatkan Ruhani rasa lebih sedih, kes kematian anaknya sehingga kini masih belum menemui titik noktah apabila identiti individu yang bertanggungjawab masih belum diketahui.
Malah, dia melihat penahanan suspek dalam kes Irene Sofiya sedikit sebanyak memberi harapan bahawa keluarga mangsa berpeluang mendapatkan pembelaan.
“Sekurang-kurangnya untuk kes Irene Sofiya pelaku berjaya ditahan berbanding apa yang berlaku kepada anak saya sehingga kini keadilan tidak dapat ditegakkan.
“Saya hanya tahu anak mati dibunuh, namun tidak tahu siapa pelakunya sehingga kini selepas 13 tahun kejadian.”
“Pada hari kejadian membabitkan Irene Sofiya saya tidak mampu mendengar berita itu secara terperinci kerana saya sendiri tidak dapat menahan sebak walaupun saya tiada kaitan dengan keluarga Allahyarham.” katanya.
Dalam masa sama, dia menitipkan kata-kata semangat kepada keluarga Irene Sofiya supaya terus kuat menghadapi ujian tersebut.
“Apa yang saya boleh katakan kepada keluarga Irene Sofiya adalah supaya mereka tabah walaupun dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu betapa beratnya ujian yang terpaksa ditanggung.
“Saya juga mengharapkan kematian Irene Sofiya mendapat pembelaan sewajarnya dan pelaku juga mendapat pembalasan di atas perbuatannya.”

Ruhani berkata, keluarganya sehingga kini masih berusaha mendapatkan keadilan buat Allahyarham Ahmad Faris meskipun kes berkenaan sudah dua kali diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Untuk rekod, mayat Wan Ahmad Faris yang ketika itu merupakan pelajar Tingkatan Empat ditemukan penyelia asrama pada Disember 2013 selepas mengesan bau busuk dari sebuah tandas.
Pada awalnya, pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengesahkan kematian itu sebagai mati mengejut dan tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah. Bagaimanapun, keputusan tersebut berubah selepas Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris berpunca daripada tindakan individu yang tidak dikenal pasti.
Sumber: Berita Harian
