Akhirnya langit cerah mula menyinar buat keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, pegawai bomba yang terkorban selepas insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 17 Disember 2018.
Menurut Sinar Harian, keluarga mangsa telah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Koroner untuk memulakan prosiding komital (hina mahkamah) terhadap peguam negara, Tommy Thomas berhubung punca kematian anggota bomba tersebut.

Tommy didakwa campur tangan dalam perlaksanaan keadilan, sebabkan inkues tertangguh
Keputusan tersebut telah dibuat koroner, Rofiah Mohamad yang membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan oleh ayah Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid.
Mohd Kassim dilaporkan telah memfailkan permohonan tersebut pada 16 Julai lalu.

Terdahulu, Tommy didakwa telah membuat penghinaan terhadap mahkamah melalui afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lepas.
Tommy juga telah didakwa campur tangan salah dalam perlaksanaan keadilan iaitu ‘unlawful interference in the cause of justice’.
Disebabkan campur tangan salah tersebut, Tommy didakwa telah menyebabkan inkues kematian Adib tertangguh sekaligus menyebabkan keadilan dilengahkan untuk dicapai.
Tak cukup dengan itu, bapa Adib juga mendakwa Tommy menindas peguam Syazlin Mansor daripada melakukan tugasnya sebagai Peguambela dan Peguamcara dan pegawai Mahkamah yang sah mewakili kepentingan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JPBM dan keluarga Muhammad Adib.

Tommy beritahu kecederaan Adib bukan dipukul?
Susulan daripada tindakan Tommy, 15 April lalu, Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield telah menarik balik rayuan mereka di Mahkamah Rayuan untuk jadi pemerhati dalam inkuiri tersebut lepas Tommy menyatakan yang kecederaan dialami mangsa bukanlah dipukul pada perenggan ke-5 dan 6 afidavit tersebut.

Berita mengenai kebenaran memulakan prosiding komital ini telah menerima respon baik netizen Facebook yang tak sabar-sabar menantikan apa akan berlaku selepas ini.

Semoga keadilan terhadap Adib dapat ditegakkan.
Baca: “Dia pakar forensik ke ahli nujum?” – Netizen Berang Keputusan Pakar Forensik Kata Adib Tak Dipukul