Biarpun mereka cuba reda dengan nasib yang menimpa, tetapi kakak kepada Allahyarham Nawawi Tarmizi iaitu Siti Nur Syafiah Tarmizi, 21 rasakan bahawa ada sesuatu yang tak kena. Oleh itu, mereka sekeluarga mengharapkan keadilan kerana rasa teraniaya.
Diseret dan ditinggal terkulai begitu sahaja
Nawawi Tarmizi atau lebih mesra disapa Awie, 19 terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Damansara – Shah Alam (DASH) maut di Hospital Sungai Buloh kerana mengalamai kecederaan parah.
Syafiah menceritakan kepada mStar bahawa dia sekeluarga bagai luruh jantung apabila menerima satu panggilan telefon daripada nombor adiknya yang membawa khabar duka itu.
“Waktu tu pukul 12 tengah malan Isnin, 26 Jun, Awie sepatutnya pulang ke kolej dia di Kelana Jaya dari rumah kami di Setapak, Kuala Lumpur. Dia ada bekerja sambilan di restoran berdekatan rumah kami.”
“Dia kerja sambilan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dia balik ke kolej malam tu sebab Isnin ada kelas. Tiba-tiba nombor Awie berdering, ingatkan nak beritahu dah sampai, tapi orang lain yang ada dalam talian.”
Tanpa diduga, panggilan tersebut menjelaskan bahawa Awie terlibat dalam kemalangan. Dia dimaklumkan bahawa keadaan dia dah lemah, mereka terus bergegas ke hospital kerana ambulans dah bawa dia ke sana.
“Bila sampai hospital, doktor minta maaf, cakap dekat kami yang peluang dia tipis. Bahagian kanan dia banyak kecederaan, ada tulang patah, kepala dia sampai nampak tengkorak, macam dia diseret jalan tar sampai terkeluar isi daging.”
Awie yang merupakan anak kelima daripada 7 orang adik-beradik menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 3 petang Isnin dengan Syafiah di sisi setelah beberapa jam bertarung nyawa.
@
“Kami bergilir-gilir masuk untuk tengok dan jaga Awie. Waktu dia dah nak pergi tu, kakak panggil mak saya masuk tengok Awie. kemudian saya pula, saya yang terakhir dari keluarga kami berada dengan Awie.”
“Jenazah Awie dikebumikan lepas Isyak pada hari sama di tanah perkuburan Sungai Buloh, Selangor, dekat dengan kubur arwah mak saudara kami.”
Kata Syafiah, dia cuba untuk reda namun apabila melihat video kemalangan adiknya itu tular, dia rasakan ada sesuatu yang tak kena.
“Kami cuba untuk lepaskan dan reda dengan apa yang jadi, tapi bila tengok video kemalangan Awie viral, nampak keadaan dia terbaring atas jalan berlumuran darah, kami tahu ada sesuatu yang tak kena.”
Jelas Syafiah lagi, hatinya remuk memikirkan ada insan yang tergamak membiarkan adiknya itu terkulai di atas jalan setelah dirinya diperlakukan dengan begitu kejam.
“Kami tahu Awie sentiasa menunggang motosikal dengan cermat, kami yakin dia bukan terbabas sendiri, ada yang melanggarnya. Kalau tengok motosikal pun masih dalam keadaan baik, cuma ada kesan geseran sikit je.”
“Tapi bila tengok badan Awie habis cedera parah, kenapa agaknya tu? Ada yang seret dan gilis dia, kami nak orang tu bertanggungjawab. Ini dikira pembunuhan. Setakat ini belum ada saksi lagi, sebab orang ramai jumpa dia dah kemalangan.”
“Kami ada pergi buat laporan polis, minta nak tengok CCTV tapi hanya diberikan separuh, polis kata atas sebab-sebab tertentu. Dalam rakaman tu nampak motosikal Awie berdekatan terowong DASH.”
“Lepas tu kami nampak ada kereta Proton Saga warna merah menghampiri motosikal Awie, dekat sangat, lagi sikit nak bergeser. Rakaman sampai situ je, kami tak nampak macam mana kemalangan tu berlaku.”
Oleh sebab itu, Syafiah merayu agar keadilan buat Awie kerana mahukan pendamaian dengan pelaku.