Jodoh datang dalam pelbagai cara. Bak kata orang, kalau dah jodoh memang tak ke mana. Baru-baru ini, seorang wanita telah berkongsi kisah pertemuannya dengan kekasih hati di laman UTAR Confessions bersempena hari jadi kekasih hatinya itu.
Menurut WORLD OF BUZZ, pada dua tahun yang lalu selepas menduduki peperiksaan akhir, dia dan rakan-rakannya telah mengambil keputusan ke KLCC untuk menonton wayang.
Kebetulan, rakan yang sepatutnya menumpangkan gadis itu tidak dapat hadir kerana ada hal lain. Dia bagaimanapun memilih untuk menaiki Grab kerana sudah terlambat dan rakan-rakan yang lain sedang menunggunya di KLCC.
Dia kemudian terus memuat turun aplikasi Grab dan menempah pemandu untuk datang membawanya ke destinasi tersebut. Menurut wanita berkenaan, hari itu merupakan kali pertama dia menggunakan perkhidmatan Grab.
Apabila Grab tiba, dia telah disapa oleh seorang pemandu lelaki dengan penuh sopan dan memberitahunya supaya tidak perlu takut kerana dia merupakan orang yang baik dan memilih untuk menjadi pemandu Grab untuk mengurangkan beban keluarga.
Sebelum tiba di destinasi, pemandu itu sempat bertanya bagaimana wanita berkenaan hendak pulang ke rumahnya dan dia memberitahu bahawa akan menaiki kereta api. Pemandu tersebut kemudian terus menawarkan diri untuk memandu wanita itu pulang ke rumah dan memberikan nombor telefonnya.
Namun wanita tersebut tidak bercadang untuk menelefon pemandu itu kerana malu. Pun begitu, rakan-rakannya dalam senyap telah menghantar pesanan ringkas kepada pemandu tersebut ketika wanita itu berada di dalam tandas.
Tidak lama kemudian, pemandu berkenaan menelefon wanita itu dan memberitahu bahawa dia sedang menunggu di tempat yang sama wanita tersebut diturunkan. Tanpa berfikir panjang, dia terus menaiki kereta Grab yang dipandu lelaki tersebut dan pemandu itu memberitahunya bahawa dia tidak sangka wanita itu akan menghubunginya.
Wanita itu kemudian menjelaskan kepada pemandu tersebut bahawa rakan-rakannya yang telah menghantar pesanan ringkas tersebut kepada si pemandu Grab dan mereka terus berborak panjang sepanjang perjalanan ke destinasi.
Setibanya di hadapan rumah, pemandu itu enggan menerima bayaran daripadanya. Namun, wanita itu telah meninggalkan duit bayaran di atas kerusi kereta tersebut.
Walau bagaimanapun, pemandu itu telah memulangkan semula duit tersebut dengan cara meletakkannya di dalam peti surat rumah wanita itu berserta nota yang bertulis,
Tak apa. Sebaliknya awak boleh belanja saya makan lain kali.”
Selang beberapa bulan, wanita itu bertemu semula dengan pemandu yang sama ketika wanita itu cuba menempah Grab. Dia menggambarkan saat tersebut sebagai takdir dan sejak daripada itu, mereka terus menjadi rakan baik.
Pada satu ketika sewaktu dalam perjalanan, pemandu tersebut telah memberhentikan keretanya di tepi jalan untuk turun dan membuka but keretanya. Dia kemudian memberikan sejambak bunga baby’s breath yang merupakan bunga kegemaran wanita itu serta melamarnya untuk menjadi kekasihnya.
Wanita itu bersetuju dan sehingga kini mereka masih menjalinkan hubungan cinta. Difahamkan wanita itu kini sudah pun tamat pembelajarannya dan kekasihnya bukan lagi pemandu Grab kerana telah mendapat kerja yang lebih baik.
Di pengakhiran entri, wanita itu menasihatkan orang ramai supaya tidak perlu gusar sekiranya masih belum menjumpai kekasih hati kerana jodoh ada di mana-mana. Amboi, amboi!
Wahh! Tak sangka boleh jumpa kekasih dengan cara macam ni.
Baca: Gadis Terlanggar Basikal Lelaki Ketika Memandu, Kini Jadi Pasangan Bercinta