in

“Kalau betul jatuh mestilah patah riuk tapi…” – Pelajar Tingkatan 3 Kritikal, Ibu Syak Anak Dibuli Di Asrama

pelajar tingkatan 3 dibuli asrama

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Bagaikan tiada kesudahan, satu lagi kes melibatkan seorang pelajar Tingkatan 3 berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.

Ahmad Irfan Ahmad Hanafi kini dilaporkan ditidurkan di hospital dan masih dalam pemantauan rapi pihak perubatan.


Menurut ibu mangsa, Siti Muhaini Mohammad Mansor, 43, anaknya dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.

Bagaimanapun, dia berasa sangsi apabila keputusan imbasan CT scan mendapati anaknya mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.

Artikel berkaitan: “Dari budak baik jadi jahat” – Ibu Kecewa Anak Berubah Terjebak Gejala Tidak Sihat Sebab Dibuli

Artikel berkaitan: Buli Asrama ‘Rampas’ Kepercayaan Keluarga Pelajar

“Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli,” katanya.

3250687

Ekoran itu, pihaknya terus membuat laporan polis pada jam 5 pagi Selasa di Balai Polis Sabak Bernam mengenai kejadian yang menimpa anaknya.

Dalam pada itu, Siti Muhaini turut mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang didakwa lewat memaklumkan kejadian kepada penjaga.

“Keluarga hanya dimaklumkan pada jam 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi.

“Warden kata Irfan jatuh dari tingkat tiga selepas makan mi segera. Tapi dalam laporan perubatan, dalam perutnya langsung tiada sisa makanan,” jelasnya.

Katanya lagi, dia turut dimaklumkan lima pelajar telah ditahan polis untuk siasatan, namun setakat ini masing-masing enggan memberikan keterangan.

Siti Muhaini menyatakan anaknya sentiasa ceria dan aktif di sekolah, memegang jawatan dalam biro agama asrama.

Dia juga memaklumkan anaknya tidak pernah menunjukkan sebarang masalah dengan rakan-rakan sebelum ini.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.