Korang semua mesti dah tak sabar nak mulakan bulan Ramadan ni kan? Seperti yang sedia maklum, bulan ke-9 dalam kalendar Islam ni adalah bulan yang paling banyak boleh kumpul pahala selain berpuasa juga ditetapkan sebagai salah satu rukun Islam.
Walaupun ketika berpuasa kita perlu menahan diri dari makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, kita juga turut tak sabar untuk menikmati juadah-juadah yang biasanya hanya akan dapat masa bulan puasa je.
Kalau dekat Malaysia, antara juadah berbuka yang popular seperti martabak, tepung pelita dan roti john. Manakala di negara-negara lain, ada juga beberapa menu wajib yang menjadi tradisi mereka ketika menyambut bulan Ramadan. Jom kita lihat apa menu dorang…
1. Pakistan, India, Bangladesh: Haleem
Kalau korang nak tahu, antara menu klasik ketika Ramadan yang wajib dihidangkan di negara-negara seperti Pakistan, India dan Bangladesh adalah sejenis stu pekat berempah yang diberi nama Haleem.
Haleem ini biasanya dibuat dengan merendam gandum dan barli semalaman sebelum direbus dan dicampurkan dengan daging seperti lembu, kambing atau ayam sehingga mendapat tekstur seperti pes.
Menariknya isi dalam Haleem ini adalah berbeza bagi setiap negara, di mana dorang mempunyai kepelbagaian seperti meletakkan kekacang dan kismis atau limau, bawang dan daun ketumbar serta dimakan bersama roti. Sedap ni…
2. Turki: Ramazan Pidesi
Ketika bulan Ramadan, rata-rata kedai di Turki akan sibuk membuat roti yang diberi nama “Ramazan Pidesi”. Untuk pengetahuan korang, roti ni memang akan dapat masa bulan puasa je tau, time lain memang susah tau nak dapat…
Ramazan Pidesi ini diperbuat daripada tepung gandum dan yis dan dekat atasnya akan ditaburkan biji-biji bijan putih dan hita,
Mengikut tradisi, roti ini akan dihidangkan ketika berbuka dan sahur dan kanak-kanak akan ditugaskan untuk membeli roti yang dibuat segar setiap hari ini sebelum waktu berbuka.
3. Yaman: Aseeda
Aseeda merupakan juadah pencuci mulut yang bukan sahaja popular di Yaman malah di negara-negara Arab lain dan di Afrika Utara.
Diperbuat daripada ketulan dari adunan tepung gandum yang ditambah dengan madu atau mentega. Teksturnya pula seakan-akan seperti bubur atau oats dan dimakan menggunakan tangan.
Kalau korang nak tahu, secara tradisional, juadah ini biasanya dihidangkan sebagai sarapan pagi dan sering juga diberikan kepada wanita yang sedang bersalin.
Min bayangkan rasa dia ada macam badak berendam sikit.
4. Indonesia: Sate Susu
Hidangan buka puasa yang popular di kalangan orang Muslim di Bali. Kalau korang dengar nama dia mesti korang ingat sate daging yang cicah dengan susu kan? Bukan tau…
Kalau korang nak tahu, sate susu ni diperbuat dari daging dari bahagian puting susu lembu yang telah dipotong kecil dan dicucuk dengan lidi. Uish mindblown!
Biasanya penjual sate akan menjual sate susu ni pada bulan Ramadan dan bulan-bulan lain dorang jual sate biasa macam sate daging, ayam atau kambing.
Apa agaknya rasa daging dia eh? Liat liat ke?
5. Arab Saudi: Samboosa
Bagi penduduk Arab Saudi, memang tak lengkap puasa kalau takde samboosa atau kita selalu panggil samosa.
Di sana, inti samosa diperbuat daripada daging kisar, keju dan sayur manakala bentuknya sama seperti samosa yang kita selalu makan iaitu berbentuk segi tiga.
6. Lebanon & Syria: Kibbeh
Bagi orang Lebanon dan Syria pula makanan yang popular ketika bulan Ramadan adalah Kibbe. Ia merupakan sejenis dumpling yang mengandungi daging dan bawang yang kemudiannya digorengkan.
Biasanya dorang akan buat banyak-banyak sebagai persediaan untuk Ramadan dan bila tiba masa nak makan hanya goreng je.
7. Kurma
Dah tentunya, makanan yang paling popular ketika Ramadan dan dimakan oleh hampir semua umat Islam di seluruh dunia ketika berbuka puasa adalah kurma.
Ini kerana, Rasulullah biasanya akan makan kurma untuk berbuka puasa dan ia juga mempunyai kandungan karbohidrat dan serat yang tinggi.
Jadi, lepas dah puasa satu hari, kurma memang boleh berikan tenaga dan memperbaiki penghadaman.
Dalam banyak-banyak ni, mana satu yang korang paling nak rasa sekali? Apa pun min hanya nak ingatkan korang untuk sentiasa berserdehana masa puasa ni dan jangan makan sampai terduduk pulak. Hehe. Selamat berpuasa korang!
Sumber: FoodPorn, Zafigo, Kompas, Remitly
Baca: Menjelang Ramadan: Ini Kadar Bayaran Fidyah Untuk Negeri Masing-Masing