Sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini boleh dikatakan disambut secara sederhana dek kerana penangan Covid-19 yang masih lagi ‘bermaharajalela’ khusunya di negara kita.
Meskipun berendam air mata di pagi raya kerana tidak dapat bersama keluarga tercinta, tuntutan tanggungjawab kita untuk mematuhi segala SOP bagi mengelakkan diri dari dijangkiti wabak ini, merupakan keutamaan buat masa ini.
Sehingga kini direkodkan lebih 191 juta orang di seluruh dunia telah dijangkiti Covid-19 dengan lebih 4 juta telah meninggal dunia.
Penat? Sedih? Marah? Pasti semua emosi bercampur baur, malah ada yang sudah putus asa untuk meneruskan hidup kerana persoalan ‘bilakah wabak ini akan berakhir’ masih belum ada jawapan.
Terbaru, khutbah Aidiladha yang dikongsikan Jabatan Agama Islam Perak telah membuatkan ramai jemaah tersentak dan mengalirkan air mata apabila ia menyentuh keadaan semasa negara berhadapan dengan Covid-19.
https://www.facebook.com/jabatanagamaislamperak/posts/897370110858741
Titipan doa yang dibaca juga, menyentuh hingga ke sanubari.
Ini merupakan antara sebagaian teks tersebut :
Hampir dua ratus juta penduduk dunia telah dijangkiti, dan lebih empat juta orang telah meninggal dunia disebabkan virus covid-19.
Wahai makhluk Allah, virus Corona yang dinamakan Covid-19, jika engkau tentera Allah yang dikirimkan untuk membanteras kesombongan manusia yang telah begitu banyak melakukan kerosakan di muka bumi milik Allah ini, segerakanlah tugasmu agar para hamba Allah yang tidak berdosa, tidak menjadi mangsa kerana perbuatan orang-orang yang telah melakukan kezaliman.
Wahai makhluk kecil yang sedang menggemparkan dunia, sesungguhnya engkau menjadi bukti akan kuasa Pencipta yang tidak ada daya kekuatan manusia untuk melawanmu, pulanglah ke tempat Penciptamu dengan tenang dan hentikanlah segera seranganmu terhadap kami yang lemah ini.
Ya Allah Maha Pencipta, pada pagi Aidiladha yang syahdu ini, kami pohonkan, dengan kudrat-Mu, dihentikan serangan makhluk kecil virus Corona ini, daripada mengganggu kehidupan harian kami, kami pohonkan kehidupan kami dikembalikan seperti biasa, membolehkan kami bekerja, beribadah, melakukan umrah dan haji serta dapat menziarahi kedua-dua ibu bapa dan saudara-saudara tua kami, agar terubat kesepian mereka yang sangat rindu mahu bertemu dengan anak cucu.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, wa lillahilhamd.”
Semoga kita dijauhkan dari segala wabak dan bahaya. Amin
Baca : Vaksin AstraZeneca Mampu Beri Perlindungan Dari Covid-19 Seumur Hidup ; Kajian