Memandangkan isu ini telah menjadi perhatian dan menimbulkan kemarahan warga tempatan, Bukit Aman akan memanggil wartawan Al Jazeera yang bertanggungjawab dalam mengendalikan satu laporan pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan itu bagi melengkapkan siasatan selepas menerima beberapa laporan polis. Lapor Sinar Harian.
“Oleh kerana ada beberapa laporan polis dibuat di atas laporan berita tersebut, menjadi tanggungjawab PDRM untuk jalankan siasatan bagi pastikan sama ada terdapat unsur hasutan atau salah laku berlaku.”
Menurutnya, pihaknya juga akan meneliti beberapa akta, antaranya ialah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan berhubung siasatan tersebut.
“Kita akan lihat beberapa undang-undang di bawah akta berkenaan selepas dia menjawab soalan,” katanya.
Sebelum ini, agensi berita yang berpangkalan di Qatar itu mengundang kemarahan rakyat negara ini selepas menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia sedang mengambil langkah memerangi pandemik Covid-19.
Baca : Siapa Rayhan Kabir, Lelaki Bangladesh Yang ‘Buka Cerita’ Kepada Al Jazeera