Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tampil mempertahankan tindakan mereka melantik pelawak terkenal, Shahrol Shiro sebagai tenaga pengajar sambilan di pusat pengajian tinggi berkenaan selepas perkara itu mencetuskan polemik di media sosial.
Menurut pihak UKM, pemilihan pelawak atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 42, itu dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam industri seni tempatan, khususnya dalam bidang seni persembahan.
Dalam satu kenyataan rasmi, UKM mengesahkan bahawa Shahrol dilantik mengendalikan modul khas seni lakon di bawah Kursus Citra Kebudayaan bagi Semester I sesi 2026/2027.
Artikel berkaitan: Akui Memang Salah, Shahrol Shiro Anggap Nabil, Azad & Radin Tidak Perlu Direhatkan Sebab…
Artikel berkaitan: “Tak semua boleh dijadikan lawak” – Shahrol Shiro Buat Laporan Polis, Dakwa Harith Iskander Hina Agama
“Shahrol Shiro dilantik sebagai pengajar sambilan Kursus Citra Universiti bagi Kelas Seni Lakon yang mengkhususkan kepada stand-up comedy di UKM.
Kursus Citra UKM (Seni Lakon) adalah kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada pelajar bagi memberikan pendedahan dan pengalaman dalam bidang seni persembahan khususnya aspek asas lakonan serta persembahan,” jelas kenyataan itu.
UKM turut memaklumkan pelantikan tersebut berada di bawah Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC), iaitu fakulti yang mengkhususkan kepada pengajian transdisiplin serta kursus umum termasuk kebudayaan, sukan dan badan beruniform.
Terdahulu, Shahrol berkongsi rasa teruja dan bersyukur menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya dengan memuat naik gambar surat tawaran bagi mengalas tanggungjawab baharu tersebut.
Pelantikan berkenaan bagaimanapun mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan mahasiswa dan warganet. Isu itu mula tular selepas seorang pengguna di platform Threads membangkitkan soalan secara terbuka kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung rasional serta kriteria pemilihan pelawak berkenaan.
Malah, rata-rata netizen di ruangan komen turut mengemukakan beberapa cadangan nama penggiat seni lain yang dirasakan mempunyai kredibiliti lebih tinggi dalam industri lakonan, antaranya pelakon veteran Nam Ron.
Pihak UKM bagaimanapun menegaskan pendedahan praktikal daripada pengamal industri seperti Shahrol mampu memberi nilai tambah dan pendedahan realistik kepada para pelajar yang mengambil kursus kebudayaan tersebut.
Sumber: Facebook
