Sebelum ini, individu yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 dan masih belum lengkap divaksin, termasuk tiada suntikan dos penggalak telah diarahkan untuk menjalani kuarantin dalam tempoh tujuh hari. Manakala, bagi individu yang sudah menerima suntikan dos penggalak pula hanya perlu jalani tempoh kuarantin selama lima hari sahaja.
Namun, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (KJ) dalam sidang media yang telah diadakan semalam, satu pengumuman bakal dibuat oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) pada minggu depan berkenaan pemansuhan prosedur pengasingan atau kuarantin bagi individu yang menjadi kontak rapat kes Covid-19.
Beliau memberitahu lagi, fasa pertama akan dimulakan dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam. Oleh hal yang demikian, satu pekeliling telah pun diedarkan kepada semua petugas kesihatan pada 15 Februari lalu.
“Kontak rapat berlaku tanpa disengajakan dan apabila ia berlaku, maka terjadinya gangguan kepada ekonomi, pengurusan pekerjaan dan sebagainya dengan ketara,”
“Satu pekeliling sudah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk pekerja kesihatan mengenai satu protokol baharu dikenalkan dan bagi mereka yang dikesan kontak rapat, mereka tidak perlu melakukan pengasingan (kuarantin) jika tidak bergejala. Sebaliknya hanya perlu melakukan ujian pada hari-hari tertentu,” kata KJ.
Di samping itu, beliau turut menambah bahawa pihak kerajaan berkemungkinan akan melaksanakan protokol yang sama kepada orang ramai sekiranya ia boleh dilaksanakan. Beliau juga telah meminta Dr Noor Hisham untuk memanjangkan perkara tersebut kepada sektor kesihatan swasta sekiranya mereka mahu melaksanakan protokol yang sama.
Baca: “Terima kasih lindungi anak anda”- 70% Murid SK Tak Hadir Vaksinasi, KJ Perli Ibu Bapa?