Impian seorang pelajar cemerlang, Nur Nasuha Nusi, 12, yang berhasrat untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akhirnya tercapai.
Ia selepas Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil keputusan untuk membantu menguruskan kemasukan Nur Nasuha ke MRSM.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi media sosialnya memaklumkan bahawa pihaknya melalui Bahagian Pendidikan Menengah dan MRSM Kuala Krai, Kelantan akan menguruskan pengangkutan untuk pelajar terbabit menduduki ujian kelayakan ke MRSM itu.
Artikel berkaitan: “You nak dapat untung besar?” – Asyraf Wajdi Bongkar Keadaan Dewan Makan MRSM, Ada Tikus & Cicak!
Menerusi video yang dikongsikan Dr Asyraf Wajdi, Nasuha meluahkan dia berhasrat untuk masuk ke MRSM kerana mahu menjadi pandai dan ingin mengubah nasib keluarganya.
“Kena ingat ilmu saja yang boleh merubah keluarga kita, boleh mengubah hidup kita,” pesan Dr Asyraf Wajdi kepada Nasuha yang akan menduduki ujian khas itu pada hari ini.
Insya-Allah, MARA melalui Bahagian Pendidikan Menengah dan MRSM Kuala Krai akan membantu mengambil adik Nasuha esok pagi bagi menduduki ujian Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang sebelum ini tercicir akibat tiada kenderaan untuk mengambil ujian.[…] pic.twitter.com/4Z8GhcaJcV
— Dr Asyraf Wajdi (@drasyrafwajdi) October 15, 2024
Katanya lagi, jangan jadikan kemiskinan, kepayahan mahupun kekangan kewangan menjadi penghalang untuk melanjutkan pelajaran.
Semalam, Nasuha dilaporkan terlepas menduduki ujian khas iaitu International General Certification of Secondary Education (IGCSE) ke Tingkatan Satu 2025 di MRSM Kuala Krai pada 8 Oktober lalu kerana tidak mempunyai wang dan kenderaan.
Nasuha dari Kampung Lubuk Nibong,Bachok, Kelantan yang sedih kerana tercicir menduduki ujian UKKM ke MRSM kerana kemiskinan keluarga selepas bapanya disahkan menghidap penyakit gastrik kronik sejak dua tahun lalu.
Keadaan kesihatan bapanya menyebabkan dia dan empat adik-beradik serta ibunya yang sarat mengandung tujuh bulan hidup dalam keadaan daif dengan hanya mempunyai satu motosikal serta sering terputus bekalan makanan.
Semoga dipermudahkan dan selamat maju jaya buat adik Nasuha.
Sumber: Berita Harian, X