Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar tidak kaitkan dirinya dengan isu yang melanda syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline.
Menurutnya, beliau tiada apa-apa kaitan dengan penerbangan tersebut dan tidak menjadi pemegang saham syarikat. Malah, beliau juga tidak tahu menahu latar belakang mengenai syarikat itu.
Artikel Berkaitan : Ahli Lembaga Pengarah MYAirline Ditahan Polis, Didakwa Terbabit Pengubahan Wang Haram
Artikel Berkaitan : “Kali kedua heartbroken dalam industri” – Petugas MYAirline Kongsi Kronologi Sedih Sebelum Ditutup
Katanya, bukan beliau yang memberikan kelulusan bersyarat lesen perkhidmatan udara kerana ia diluluskan pada waktu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.
“Carian saya menunjukkan bahawa syarikat ini mendapat kelulusan bersyarat lesen perkhidmatan udara pada 22 Disember 2021 iaitu semasa saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri.”
“Penglibatan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) sebagai peguam bagi pihak pemegang saham syarikat MYAirline tidak boleh dikaitkan dengan saya. RDS sebagai sebuah firma guaman berhak untuk mewakili sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat guamannya.”
Beliau menyifatkan bahawa tuduhan dan dakwaan ini timbul apabila ada pihak-pihak tertentu cuba mencemarkan nama baiknya dengan membuat tuduhan jahat kononnya dirinya terbabit dengan syarikat ini, beliau juga memohon agar politik kotor murahan ini dihentikan.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila ada pihak mengaitkan dirinya dengan kemelut yang berlaku pada syarikat penerbangan ini.
Sumber: Facebook