in

Harimau Malaya Berdepan Denda Oleh FIFA, 7 Pemain Kacukan Didakwa Ada Masalah Dokumentasi

1fam

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain warisan negara berdepan tamparan hebat apabila Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman berat selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Dalam kenyataan rasmi, FIFA memaklumkan FAM menggunakan dokumen diubah suai ketika mengemukakan kelayakan tujuh pemain terbabit untuk beraksi bersama skuad kebangsaan, termasuk Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. Mereka pernah diturunkan ketika menentang Vietnam dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, Jun lalu.


Screenshot 2025 09 27 at 9.56.31 AM

Hasil siasatan, FIFA mendapati wujud pelanggaran serius dan memutuskan FAM perlu membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta). Tujuh pemain berkenaan turut dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,000) setiap seorang serta digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, sekali gus menjejaskan karier mereka bersama kelab dan pasukan negara.

Selain itu, FIFA merujuk isu kelayakan pemain terbabit kepada Tribunal Bola Sepak FIFA untuk pertimbangan lanjut. FAM dan pemain diberi tempoh 10 hari untuk memohon keputusan penuh bertulis sebelum membawa kes ini ke peringkat rayuan. Hukuman tersebut disahkan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John.

Kes berprofil tinggi ini menjejaskan reputasi FAM ketika skuad Harimau Malaya sedang giat membuat persiapan ke Piala Asia dan Piala Dunia. Malah, isu ini turut menarik perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sebelum ini berkongsi tangkap layar laporan portal sukan mendakwa wujud entiti luar cuba mensabotaj projek kebangkitan bola sepak negara.

Sumber: Harian Metro

Baca: ⁠FIFA Keluarkan 4 Denda Kepada Pasukan Kebangsaan Indonesia

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.