Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf Meta Platforms Inc (Meta) berikutan dengan hantaran ucapan takziah melalui akaun rasmi beliau dalam Facebook dan Instagram susulan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Ia disahkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, selepas beliau menghubungi Perdana Menteri mengenai isu berkenaan.
Artikel berkaitan : “Semoga Paklah terus sihat” – Orang Ramai Terkejut Tengok Keadaan Terkini Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah
Artikel berkaitan : Fahmi Fadzil Minta Ibu Bapa Maklum, Anak Bawah 13 Tahun Tidak Dibenarkan Miliki Media Sosial
“Saya ada berhubung dengan Perdana Menteri dan beliau sendiri mengambil maklum akan permintaan maaf daripada Meta.”
“Perdana Menteri memaklumkan bahawa sahabat-sahabat beliau, termasuk di Timur Tengah (Asia Barat), sudah membaca berita terbabit… bermaksud ia sudah sampai ke seantero dunia.”
“Perdana Menteri menerima permohonan maaf itu dan pada masa sama, kita berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi.”
Hari ini, pihak Meta memohon maaf atas tindakan mereka menurunkan hantaran ucapan takziah melalui akaun rasmi Anwar di platform Facebook dan Instagram berhubung pembunuhan Haniyeh.
Menurut Meta, ia adalah ‘kesilapan operasi’ dengan hantaran terbabit dan kini sudah dimuat naik semula menggunakan label berita yang sahih.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dilaporkan telah memanggil Meta dan menuntut penjelasan secara terperinci daripada mereka.
Fahmi berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Meta bahawa mereka memiliki garis panduan berkaitan isu geopolitik yang berubah dari semasa ke semasa.
“Semalam, saya sudah menyampaikan kepada Meta… saya mohon supaya mereka dari semasa ke semasa berhubung dengan PMO untuk memberikan apa-apa maklumat terkini mengenai garis panduan sekiranya ia berubah.”
“Sebagai contoh pada satu ketika, perkataan syahid juga tidak dibenarkan dalam Meta. Namun, kami dimaklumkan akibat usaha yang dipelopori pasukan yang kami jumpa, semalam, perkataan seperti syahid tidak lagi menjadi isu.” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau juga sudah meminta Meta supaya memastikan Perdana Menteri diberikan taraf layanan yang sama dengan ketua kerajaan lain di seluruh dunia.
Sumber : Berita Harian