Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel baru-baru ini menggesa pihak kerajaan supaya mengikuti tindakan kerajaan Pulau Pinang yang mengharamkan sewaan jangka pendek di negeri berkenaan dalam usaha menyelamatkan industri hotel di negara ini.
Tambahnya lagi, pihak kerajaan perlu menyegerakan pelaksanaan undang-undang penginapan sewa jangka pendek (STRA) kerana menurutnya, buat masa sekarang, tiada rangka kerja undang-undang yang mengawal pengendali STRA yang berpotensi menjejaskan keseluruhan industri hotel.
Artikel berkaitan : “Hanya di bahagian pulau” – Sewaan Jangka Pendek Diharamkan Serta Merta Di Pulau Pinang
Artikel berkaitan : “Rasa tak selamat!” – Pasangan Dari China Terkejut Temui Kamera Tersembunyi Di Bilik Penginapan Di Sabah
Dalam pada itu, Ganesh menegaskan isu berkenaan sudah berlaku sejak sekian lama dan sekiranya tiada tindakan lanjut yang diambil pihak kerajaan, pengusaha penginapan jangka pendek ini berkemungkinan akan melanggar undang-undang dan merisikokan pengusaha lain.

Beliau berkata demikian selepas diminta memberikan ulasan tentang insiden kamera tersembunyi yang ditemui dalam sebuah unit penginapan jangka pendek di Sabah baru-baru ini.
Tambahnya lagi, insiden tersebut menyebabkan imej industri pelancongan negara tercalar selain tidak ada entiti yang boleh memastikan pesalah ini tidak mengulangi kegiatan yang sama, walaupun pihak syarikat mengatakan akan mengharamkan pemilik tersebut.
Isnin lalu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, sekarang adalah masa yang sesuai untuk memperkenalkan STRA, terutamanya Airbnb agar ianya didaftarkan dan dikawal secara sah.
Dalam satu kenyataan oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan rakan sejawatannya daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan juga akan membincangkan penyelesaian bagi memastikan pemain industri mematuhi peraturan dan syarat.
Salah satu daripada langkah yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan adalah mengadakan zon khas untuk sewaan jangka pendek seperti Airbnb.

Perlaksanaan undang-undang ini juga dipersetujui oleh beberapa pemilik Airbnb di Lembah Klang yang menyifatkan ia akan memastikan tawaran penginapan jangka pendek ini mencapai kualiti yang sepatutnya.
Menurutnya, lambakan unit penginapan sewaan jangka pendek yang wujud menimbulkan pelbagai isu seperti pengusaha yang tidak profesional, hanya mengejar keuntungan dan langsung tidak menjaga kualiti dan sering mendapat rungutan daripada pelanggan.
Secara tak langsung, hal ini akan menyebabkan pengguna menyalahkan kesemua pemilik walaupun hakikatnya, ada ramai pengusaha yang bekerja keras untuk menawarkan perkhidmatan dan pengalaman penginapan yang terbaik kepada para tetamu mereka.
Sumber : The Star
