Sejak kebelakangan ini, banyak sindiket kartel yang melakukan kegiatan haram didedahkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sebelum ini, sindiket yang membolot projek-projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion sejak 2014 telah berjaya ditumpaskan.
Terbaru, SPRM berjaya membongkarkan kegiatan haram lain didalangi satu sindiket iaitu menjual Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu kepada warga asing. Sindiket berkenaan melakukan ‘bisnes’ itu dengan menggodam pangkalan data Jabatan Imigresen dan dibantu oleh ‘orang dalam’ jabatan atau agensi kerajaan sendiri yang menjadi tali barut.
Menurut Kosmo, penglibatan ‘orang dalam’ ini adalah dengan membocorkan dan menyalurkan maklumat sulit kerajaan kepada sindiket yang diketuai oleh seorang individu bergelar Datuk itu. Trasmitter dipasang bagi membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai Imigresen dan mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat Imigresen.
Ratusan ribu PLKS palsu dianggarkan telah dicetak oleh sindiket berkenaan sebelum dijual pada harga antara RM6,000 hingga RM8,000. Bukan itu saja, sindiket terbabit juga berupaya membuka dan menutup semula status ‘blacklist’ atau ‘red alert’ individu bagi membolehkan mereka melepasi sekatan Imigresen di lapangan terbang dengan bayaran tertentu, lapor Sinar Harian.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata seramai sekurang-kurangnya 11 individu termasuk ketua sindiket bergelar Datuk itu telah diberkas oleh SPRM dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Sebanyak 30 unit hartanah dan 66 buah kenderaan bernilai RM25.4juta telah disita. Peralatan komputer termasuk dua sistem komputer klon dan transmiter yang digunakan sindiket itu juga turut dirampas ketika serbuan.
SPRM turut mendedahkan separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam sepanjang enam tahun lepas. Untuk rekod, dari 2015 hingga 2020, sejumlah 5,652 tangkapan dibuat dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,683 atau 47.5 peratus terdiri daripada penjawat awam.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Sesuai sangat dengan peribahasa, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.