in

“Gelak 80-an” – Mengenang Hail Amir Dengan 5 Filem Yang Pernah Dilakonkannya

Collage 5

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Penyanyi dan pelakon veteran, Datuk Hail Amir telah menghembuskan nafas terakhirnya semalam di Hospital Kuala Lumpur pada jam kira-kira 3.48 petang semalam.


Hail Amir memang dikenali dengan suara lunaknya dan lagu-lagunya sering menjadi siulan ramai seperti Wajah Kesayangan Hamba serta turut sering berduet dengan Uji Rashid dengan lagu mereka yang popular seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak dan Antara Matamu dan Mataku.

Selain itu, Hail Amir juga turut mempunyai bakat berlakon apabila dia telah tampil dalam filem-filem popular ketika zaman 70-an dan 80-an.

Malah di TikTok juga, ramai yang membuat lakonan semula filem-filem klasik ini dan mengimbau semula gelak ikonik 80-an yang dipopularkan oleh Hail Amir ini.

@hanafiishak439

#hailamir #filem80an

♬ original sound – hanafiishak439 – hanafiishak439

Jadi, sempena mengenang Hail Amir, apa kata kita imbau semula filem-filem yang pernah dilakonkan olehnya. Jom!

Artikel berkaitan: Mengenang Jaafar Onn: 5 Filem ‘Legend’ Yang Pasti Buat Korang Teringat Pada Pelawak Veteran Ni!

Artikel berkaitan: “Rugi tak tengok” – Ini 5 Filem Malaysia Terbaru Yang Korang Memang Kena Tonton!

1. Jiwa Remaja (1975)

Jiwa Remaja merupakan filem pertama yang dilakonkan oleh Hail Amir pada 1975. Filem yang diarahkan oleh Jamil Sulong ini turut dibintangi oleh Uji Rashid, Yusof Haslam, Nozie Nani dan ramai lagi.

Ia mengisahkan tentang Hairi yang perlu menyara ibu dan adiknya dengan melakukan pelbagai kerja sementara. Hairi kemudiannya telah jatuh cinta dengan Anita, iaitu anak orang kaya. Namun, abang kepada Anita, Yusof tidak merestui perhubungan mereka sehingga berlakunya pertelingkahan dan melibatkan pembunuhan.

2. Cinta dan Lagu (1976)

Filem Cinta dan Lagu juga merupakan arahan Jamil Sulong ini telah ditayangkan di pawagam pada 27 November 1976 dan dibintangi oleh Hail Amir, Noor Azizah dan Yusof Haslam.

Filem berbentuk muzikal ini mengisahkan tentang Zulkifli, seorang nelayan muda yang telah jatuh cinta kepada Noraini. Pada masa yang sama, anak ketua kampung, Malek turut menaruh hati kepada Noraini namun pinangannya ditolak. Pada hari perkahwinan Zul dan Noraini, Malek telah membuat keputusan untuk menculik Zul untuk membalas dendam.

3. Menanti Hari Esok (1977)

Menanti Hari Esok arahan Jins Shamsuddin ini turut dilakonkan oleh Jins Shamsudin, Noor Kumalasari, Sarimah Ahmad dan Hail Amir.

Filem ini mengisahkan tentang Talib bin Ayob yang merupakan seorang guru besar yang mempunyai tiga orang anak. Namun hidupnya mula menjadi sukar apabila dia disahkan menghidap barah dan hanya mempunyai masa beberapa bulan untuk hidup.

4. Dendang Perantau (1979)

Filem arahan Jamil Sulong, Dendang Perantau telah menampilkan pelakon seperti Latif Ibrahim, Uji Rashid, Hail Amir, Teh Faridah dan ramai lagi.

Ia mengisahkan tentang Des Iskandar yang berasal dari Indonesia dan telah menuntut di salah sebuah universiti di Malaysia. Ketika di sana, Des telah bercinta dengan Emilia namun hubungan mereka tak direstui oleh bapa Emilia, Datuk Ariff kerana merasakan yang mereka tidak setaraf. Emilia kemudiannya dijodohkan dengan anak rakan kongsinya, Wan Farid yang juga merupakan seorang samseng.

5. Ke Medan Jaya (1983)

Filem arahan A. Aziz Wok ini telah ditayangkan pada 1983 dengan barisan pelakonnya terdiri daripada Dharma Harun Al Rashid, Rosnah Abdul Rahman dan Hail Amir.

Ke Medan Jaya ini mengisahkan tentang kehidupan Hisham yang telah tinggal bersama ibunya Mak Jah selepas bapanya meninggal dunia ketika menjalankan tugasnya sebagai seorang tentera. Mak Jah kemudiannya telah bekerja di rumah orang kaya Pak Samad dan Timah yang telah melayan anak beranak ini dengan baik.

Hisham pula telah dilayan seperti anak sendiri dan diberikan pendidikan yang sama seperti anak kandung mereka, Haryati. Hubungan antara Haryati dan Hisham menjadi semakin rapat menjadikan Pak Samad dan Timah risau ekoran anak perempuan mereka ini telah pun ditunangkan dengan Shahril. Hisham yang kecewa dengan perkara ini telah mendaftarkan dirinya untuk menjadi seorang tentera.

Sumber: Berita Harian, Wikipedia

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.