Kebelakangan ini terlalu kerap cerita yang kurang enak didengari tetang kisah perceraian atau pergolakan rumah tangga yang dikongsi di media sosial mahupun berlaku dalam kalangan selebriti.
Hakikat yang pahit untuk ditelan, namun trend perceraian di negara ini agak membimbangkan lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang beragama Islam.
Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menunjukkan sebanyak 45,420 kes perceraian didaftarkan di seluruh negara pada 2021 menurut laporan Harian Metro.
Punca utama yang dikenal pasti dalam kebanyakan kes adalah tiada persefahaman, faktor kewangan, pasangan curang dan tidak kurang juga kes perceraian disebabkan campur tangan keluarga.
Selain itu, turut menyumbang kepada perceraian ialah keganasan rumah tangga, termasuk penderaan yang melibatkan fizikal dan mental.
Situasi ini menyebabkan pakar mengusulkan agar modul kursus praperkahwinan terutamanya pasangan Islam di negara ini perlu diteliti semula dan disesuaikan dengan keperluan serta cabaran semasa.
Menurut Kaunselor di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Azmawaty Mohamad Nor ketiuka memberikan ulasan tentang kes perceraian di negara ini berkata sudah tiba masanya untuk modul kursus praperkahwinan ditambah baik.
Tambahnya lagi, cabaran yang dihadapi pada zaman ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan apa yang ada ketika kursus itu mula-mula diperkenalkan.
“Kursus ini relevan dan penting bagi bakal pengantin, namun boleh ditambah baik dari semasa ke semasa”
Menurut Azmawaty lagi, antara yang boleh dipertimbangkan untuk dimasukkan dan diketengahkan dalam modul berkenaan adalah ilmu pengurusan mental dan emosi bagi mengelakkan berlakunya penderaan baik dari segi fizikal ataupun secara emosi.
Isunya di sini menurutnya bukanlah pertelingkahan, tetapi bagaimana pasangan menguruskan mental dan emosi mereka ketika wujudkan konflik dalam rumah tangga.
Kegagalan untuk menguruskan konflik tersebut boleh menyebabkan ianya menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan penderaan, penganiayaan dan pengabaian.
Azmawaty menyarankan penekanan konsep ‘3R’ iaitu retract, rethink dan respond dalam modul praperkahwinan bagi membantu pasangan belajar mengawal perasaan apabila berada dalam keadaan tertentu.
Tambahnya lagi, kebanyakan pasangan sering disajikan cerita-cerita indah alam perkahwinan, sedangkan realitinya adalah berbeza. Ini menyebabkan ramai tidak bersedia ketika berdepan dengan konflik.
Oleh itu, adalah penting bagi setiap pasangan mempunyai ilmu untuk mengawal emosi yang dapat membantu mereka menyelesaikan masalah dengan tenang dan matang.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Siti Nubailah Mohd Yusof berkata perkhidmatan kaunseling perkahwinan mampu membantu suami isteri, terutama pasangan muda, menjaga keharmonian rumah tangga.
Mereka yang berdepan pelbagai kesulitan sehingga menjejaskan kesihatan mental serta emosi mereka dan akhirnya menyebabkan kemurungan, perlu tampil mendapatkan bantuan daripada kanselor profesional yang menawarkan kaunseling perkahwinan baik menerusi agensi kerajaan, NGO atau pihak swasta.