Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan pihak Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan mutasi jenis D614G menerusi hasil ujian pengasingan dan kultur — terhadap tiga kes melibatkan Kluster pesakit bawah siasatan Sivagangga dan satu kes daripada Kluster Ulu Tiram.
Ia sekali gus bermaksud, orang ramai kini perlu lebih berwaspada kerana COVID-19 dengan mutasi tersebut terbukti dikesan di negara ini.
Memetik laporan Harian Metro, Dr. Noor Hisham memuatnaik kenyataan itu menerusi perkongsian di laman Facebooknya semalam.
https://www.facebook.com/DGHisham/posts/3552118904811972
Jelasnya, mutasi kali ini didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu super spreader.
Bagaimanapun, setakat ini kedua-dua kluster itu agak terkawal dan pasukan terlibat sedang melakukan beberapa lagi ujian susulan untuk menguji sejumlah kes lain.
Dr. Noor Hisham menjelaskan, mutasi jenis ini ditemui saintis pada Julai lalu dan ia berkemungkinan akan menyebabkan pembangunan vaksin semasa tidak berkesan ke atasnya.
Justeru, orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga selain mematuhi segala perintah kawalan bagi membendung penularan wabak berbahaya itu.
Baca: Mutasi Baharu Covid-19 Di Malaysia Lebih Dahsyat & Agresif, Dah Jangkiti 120 Individu