Mesti ada sesetengah daripada kita pernah mengalami pengalaman mistik yang menyeramkan. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan dalam apa jua keadaan sama ada kita sedang bekerja atau dalam perjalanan pulang ke rumah.
Baru-baru ini, Muhd Danial Hakim Mohd Saiful, 24 telah berkongsi pengalaman mistiknya ‘ditemani’ lembaga tinggi dan gelap sepanjang dua hari hilang semasa hendak balik ke rumahnya.
Menurut Harian Metro, Danial yang bekerja sebagai penyunting video tidak pulang ke rumahnya di Bukit Rahman Putra selepas habis kerja pada Rabu lalu.
Pada awalnya, dia naik tren ke Stesen MRT Sungai Buloh sebelum memandu kereta pulang ke rumah kira-kira jam lapan malam. Akan tetapi, disebabkan dia berasa pening, dia berhenti tepi jalan dan tidur sekejap.
Artikel berkaitan: “Orang ke tu?” – [VIDEO] Seram! Netizen Tertanya-Tanya Penampakan Lembaga ‘Jengah’ Bayi Ini
Artikel berkaitan: “Apa tu?” – Pemuda Terkejut Nampak Lembaga Putih Semasa Ke Toilet Waktu Tengah Malam, Rupa-Rupanya…
“Ketika itu, saya berasa sangat pening lalu berhenti di tepi jalan dan tidur seketika. Apabila terjaga, saya teringat isteri sedang menunggu di rumah untuk keluar makan dan saya segera memandu pulang.”
Walaupun begitu, dia tak jumpa jalan pulang dan asyik melalui kawasan sama. Tiba-tiba, kawasan sekitarnya jadi gelap menyebabkan dia tak nampak apa-apa. Disebabkan tu, dia berhenti dan cuba keluar dari kereta namun masuk balik kerana takut dengan keadaan gelap.
“Saya matikan enjin kereta dan keluar tapi disebabkan keadaan gelap, saya takut lalu masuk semula ke dalam kereta. Selepas itu, saya cuba keluar semula tapi pintu kereta sudah tidak boleh dibuka lagi.”
Apa yang menyeramkan, sepanjang dua hari hilang, dia hanya bertemankan bunyi loceng dan satu lembaga yang tak henti melihatnya dari luar kereta.
Tambahnya, dia ada terdengar bunyi kenderaan dan suara orang namun masih tak nampak apa-apa. Dia juga cuba untuk menjerit meminta tolong namun usahanya itu gagal.
“Saya boleh dengar bunyi kenderaan dan suara orang di luar tapi saya tidak nampak apa-apa. Saya juga nampak cahaya lampu seperti kereta peronda polis dan cuba jerit meminta tolong tapi tidak berhasil.”
Walaupun hampir putus harapan namun, suara laungan azan mengembalikan semangatnya. Setelah itu, dia ternampak cahaya di satu lorong lalu melaluinya dan akhirnya berjaya pulang ke pangkuan keluarganya selepas dua hari hilang.
Semoga Muhd Danial berjaya hadapi trauma ini dengan baik.
Sumber: Harian Metro