Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan, seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan membakar 11 buah motosikal dan empat skuter elektrik di hadapan Suria KLCC, minggu lalu.
Azril Kamarunzaman, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Berdasarkan pertuduhan yang dibaca, lelaki terbabit didakwa melakukan khianat dengan cara membakar kenderaan tersebut di parkir motosikal, di hadapan KLCC, Jalan Ampang pada jam 3.30 petang, 13 April lalu.
Pendakwaan kes tersebut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Amalina Abu Hanifah, menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela Azril, Muhamad Ridzuan Umar, merayu agar jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan anak guamnya itu perlu menanggung isteri serta ibu bapanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nu’aman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, telah kecoh di media sosial mengenai kebakaran yang berlaku di hadapan KLCC sekali gus menyebabkan 13 buah motosikal dan empat skuter eletrik hangus dijilat api.
Susulan insiden berkenaan, seorang lelaki berusia 34 tahun telah ditahan selepas dikesan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Semoga keputusan mahkamah berpihak kepada kebenaran..
Sumber : Sinar Harian, Berita Harian
Baca : Polis Tahan Lelaki Disyaki Terlibat Dalam Kebakaran Depan KLCC