Tular di media sosial mengenai satu video yang memaparkan seorang anggota JPJ telah dirempuh penunggang motosikal di satu sekatan jalan raya semalam.
Kejadian itu telah menyebabkan anggota terbabit mengalami kecederaan pada beberapa bahagian anggota badan.
Artikel berkaitan: Tular Video Penunggang Motor Rempuh Anggota JPJ Sampai Cedera, Rupanya Tiada Lesen Memandu & Road Tax
Menurut mangsa, Muhammad Nur Hakim Mohd Razip berkata, penunggang itu sudah pun memperlahankan motosikalnya sebelum secara tiba-tiba memecut hingga melanggarnya.
“Saya bukan nak tunjuk hero, saya tidak menahannya, penunggang motosikal itu yang datang ke arah saya,” katanya.
Ujarnya ketika kejadian, SJR dijalankan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson di laluan dua lorong. Satu lorong khas untuk pemeriksaan motosikal manakala lorong kanan untuk pemeriksaan kereta.
“Saya berada di lorong kanan dan sedang memeriksa kereta. Kami sudah nampak lelaki itu memperlahankan motosikalnya dan lalu di lorong motosikal, namun secara tiba-tiba dia memecut dan menukar arah ke lorong kereta sebelum merempuh saya,” katanya lagi.
Tambahnya, dia bukan sengaja mahu menahan penunggang motosikal itu atau sanggup mempertaruhkan nyawa sebaliknya dia tidak sempat mengelak kerana penunggang secara tiba-tiba menukar haluan dan memecut.
Mengulas lanjut, dia bersyukur tidak mengalami kecederaan parah meskipun melambung selepas dirempuh penunggang motosikal terbabit.
Menurut sumber, penunggang motosikal terbabit direman empat hari bermula hari ini. Suspek yang ditahan di tempat kejadian turut didapati mempunyai lapan rekod membabitkan dadah dan jenayah.
Sumber: Buletin TV3, Berita Harian