Individu yang didakwa bertindak agresif dengan menumbuk dan menampar seorang lelaki gara-gara mangsa terbatuk ketika beratur membeli sarapan di sebuah premis nasi lemak sekitar Puncak Alam tampil menyerah diri kepada pihak polis.
Menerusi perkembangan terbaharu itu, lelaki warga emas berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bagi memberikan keterangan selepas usaha mengesannya dijalankan secara agresif oleh pihak berkuasa.
Perkara itu dikongsikan oleh mangsa, Ahmad Zhafri Samsudin menerusi satu hantaran di Facebook susulan insiden terbabit tular sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.
Dalam pada itu, Zhafri berkata, dia memilih jalan damai dengan memaafkan warga emas terbabit serta berharap kejadian tersebut dijadikan sebagai pengajaran.
“Saya memilih untuk memaafkan beliau. Jika Rasulullah SAW mampu memaafkan umatnya, siapalah saya yang penuh dengan kekurangan ini untuk tidak memberi ruang kepada seseorang memperbaiki kesilapan.
“Saya tidak memilih kekerasan. Saya memilih undang-undang,” katanya.
Artikel berkaitan: Noda Remaja Di Hospital, Pesakit Dialisis Berusia 60 Tahun Dipenjara 3 Tahun
Artikel berkaitan: “Nak support peniaga tapi…” – Wanita Kecewa Dapat Nasi Lemak ‘Terhimpit’?
Zhafri turut menegaskan bahawa dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya insiden sebegini berlaku lagi pada masa hadapan.
“Ketika kejadian berlaku, saya ada berkata… pakcik tak kenal saya siapa, tak tahu apa yang saya boleh buat dan siapa yang berada di belakang saya.
“Saya ingin menjelaskan maksud kata-kata itu. Inilah yang (dimaksudkan) berada di belakang saya… kedaulatan undang-undang,” katanya.
Pada 13 Jun, Zhafri menerusi satu hantaran mendakwa menjadi mangsa serangan oleh lelaki berkopiah ketika sedang beratur membeli sarapan di sebuah premis nasi lemak.
Warga emas itu menumbuk dan menolak serta menengking mangsa secara tiba-tiba di hadapan pelanggan lain.
Sumber: Sinar Harian, Facebook
