Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham semalam telah membawa satu berita gembira yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia iaitu penerimaan ubat bagi merawat pesakit yang mengalami jangkitan Covid-19.
Menurut posting yang dimuatnaik DG Hisham di akaun Facebooknya memaklumkan bahawa sejumlah 48,000 stok ubat PAXLOVID (PF-07321332/Nirmatrelvir 150mg Film-Coated Tablets & Ritonavir 100mg Film-Coated Tablets) telah selamat tiba di Malaysia.
Tambah beliau lagi, ubat tersebut bakal digunakan bagi merawat pesakit Covid-19 dewasa berumur 18 tahun keatas dan tidak memerlukan terapi oksigen selain mereka juga tidak berisiko tinggi untuk mendapat gejala Covid-19 yang teruk.
Namun begitu, Tan Sri Noor Hisham turut menjelaskan bahawa penggunaan ubat PAXLOVID ini tidaklah bertujuan untuk menggantikan pengambilan vaksinasi Covid-19 mahupun sebagai pengganti kepada tindakan kesihatan awam bagi mengelakkan jangkitan daripada terus berlaku.
Jelasnya lebih lanjut, ubat ini merupakan sejenis ubat antiviral untuk aspek rawatan Covid-19 dan ianya merupakan salah satu ‘senjata’ untuk melawan wabak tersebut.

Dari segi penggunaan, difahamkan ubat ini akan diberikan segera kepada individu yang disahkan positif Covid-19 dan akan diberikan dalam tempoh 5 hari gejala bermula untuk keberkesanan yang optimum dan menerusi infografik yang dikeluarkan KKM, difahamkan ubat ini perlu diambil sebanyak 2 biji untuk 5 hari berturut-turut.

