in

Dakwa Aktiviti Diluluskan & Dilesenkan, Bank Negara Malaysia Perjelas Status Sebenar Quantum Metal

Ft Bank Negara Quantum Metal

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini berkongsi satu hebahan bagi menjelaskan beberapa dakwaan dan kesalahan fakta yang tular berhubung dengan urusan Quantum Metal Sdn. Bhd (QMSB) yang sebelum ini mendakwa perniagaan mereka telah mendapat pengesahan dan dilesenkan oleh BNM.


QMSB merupakan institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).

Menurut hebahan tersebut, QMSB berurusan degan logam atau batu berharga, iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA, bersama-sama dengan sektor perniagaan dan profesion bukan kewangan yang ditentukan yang lain seperti peguam, akauntan, syarikat amanah dan juga setiausaha syarikat.

Jadi, sebagai sebuah institusi pelapor, QMSB dikehendaki untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan aktiviti institusi tersebut disalahgunakan sebagai saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau aktiviti yang membiaya pengganas.

Pun begitu, walaupun QMSB mempunyai status sebagai institusi pelapor, ini tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaan seperti produk dan dagangan emas tersebut adalah didaftarkan, diluluskan atau dilesenkan di bawah undang-undang tadbir BNM.

Hebahan tersebut juga dalam erti kata lain mengatakan sebarang dakwaan bahawa aktiviti yang dijalankan QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM adalah tidak benar sama sekali.

Bizm O Quan Hmfield Image Socialmedia

BNM dalam masa yang sama juga telah maklum mengenai dakwaan-dakwaan menerusi media sosial bahawa semua transaksi masuk dari luar negara memerlukan kelulusan dan pengesahan pihah mereka berhubung AMLA.

Menurut BNM, sebarang aliran masuk dana ke dalam negara melainkan untuk tujuan peminjaman luar pesisir yang melebihi had tertentu yang diperutukkan di bawah dasar pertukaran asing tidak memerlukan pengesahan dan kelulusan pihak BNM.

Artikel berkaitan : Dijanjikan RM145K Dalam Masa 3 Jam, Abby Abadi Kena ‘Scam’ Dalam Group Telegram

Artikel berkaitan : Nafi Seleweng Dana, Aman Palestin Dakwa Jongkong Emas Untuk Pelaburan

Selain itu, BNM menegaskan mana-mana pihak agar tidak menyalahgunakan nama dan juga urusan surat-menyurat BNM sehingga boleh mengundang salah faham bahawa produk atau perkhidmatan mereka mendapat kelulusan BNM.

Tambah BNM lagi, dakwaan mempunyai kaitan dengan BNM oleh mana-mana entiti atau individu tidak seharusnya dijadikan satu-satunya pertimbangan untuk menentukan kesahihan sesebuah perniagaan tersebut.

BNM juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila membuat keputusan untuk melabur. Sebarang aktiviti kewangan yang disyaki dilakukan tanpa kebenaran hendaklah dilaporkan kepada pihak yang sepatutnya.

Sumber : Bank Negara Malaysia

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.