Pendakwah selebriti, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 3 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium pada 5 tahun lalu.
Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pembelaan dan hukuman tersebut berkuat kuasa hari ini.
Artikel berkaitan : “Saya sudah membela diri” – Sudah Tidak Kompeten, Da’i Syed Tarik Balik Rayuan Tuduhan Rogol
Artikel berkaitan : Kaitkan Keguguran Isteri Kerana Kifarah Kes Rogol, Da’i Syed Akan Ambil Tindakan Terhadap 2 Wanita
Menerusi laporan Harian Metro, sebaik mendengar keputusan itu, bapa anak satu itu dilihat menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh.
Turut menemaninya adalah isteri, Hana Ismail, 38, yang baru melahirkan anak 16 hari lalu. Da’i Syed kemudian terus memeluk wanita itu.
Pada 10 April 2023, Hakim Rihaida Rafie membebaskan pendakwah itu atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, daripada tuduhan itu tanpa memanggilnya membela diri.
Pada 10 Disember 2020, pemilik nama Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang ketika kejadian baru berusia 23 tahun dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 kira-kira jam 1.35 malam pada 11 September 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April 2022.
Pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut kolej swasta.
Sumber : Harian Metro